Apai pergi selama-lamanya didepan mataku.

Kenangan semasa graduate di UNIMAS, Kuching tahun 2000
Apai jadi pengiringku semasa perkahwinan gereja 2002. Kenangan terindah yang aku hargai sepanjang hayat.
Gambar terakhir di rumah, 23 Februari
beberapa jam sebelum apai pergi buat selama-lamanya.
Hari terakhir kuucapkan selamat tinggal untuk Apai. Rest in Peace Apai.


19 Mac, jam 1.24 petang. Aku menyaksikan apai menghembuskan nafas terakhir. Tangannya terkulai dalam genggamanku. Air matanya mengalir. Tiada apa yang paling menyedihkan dalam hidup, melihat insan yang disayangi, melalui detik itu sedangkan tiada apa yang dapat dilakukan. Aku kaku tidak dapat menangis seketika. Sesak nafas, sehingga aku terpaksa keluar dari bilik. Kaki bagaikan tidak berpijak di bumi.

Hampir enam tahun, aku menyaksikan apai bertarung dengan kanser. Kanser meragut kebahagian kami. Ratusan kali rawatan demi rawatan, chemo dan radioterapi di Bintulu, Kuching, Miri dan KL. Dalam tempoh itu juga hati tidak tenang memikirkan kesakitan yang apai lalui. Bagaikan roller coster.

Dua minggu sebelum apai meninggal, kami sempat menikmati sarapan di Batu Niah dan makan tengah hari di kampung. Apai memang sudah lemah kesan daripada chemo, menyebabkan dia hilang selera makan secara drastik. Ada satu malam, saya dan suami menghantar buah-buahan dari Miri ke Niah, kerana dia mengadu lidahnya terasa pahit. Seminggu kemudian, dia dimasukkan ke Hospital Bintulu kerana kekurangan garam. Selera makan apai semakin teruk. Apai menangis memelukku waktu kami melawatnya di sana. Kami meluangkan masa seharian di situ. Aku tidak tahu, itulah kali terakhir apai kenal aku.

Selang sehari, apai discaj, namun selera makannya makin teruk. Beberapa hari kemudian apai meminta dibawa pulang ke Niah. Apai hanya minum sup/susu, menyebabkan tahap kesihatannya makin teruk. Paling sedih, bila aku pulang Niah, apai tidak lagi kenal. Dia hanya kenal beberapa orang sahaja. Ku usap lengannya, aku cium dahinya, ku bisikkan kata-kata mohon maaf, ucapkan terima kasih kerana menjaga dan membesarkan aku dan betapa aku menyayanginya. Hatiku hancur remuk melihat insan yang pernah menjaga dan membesarkan ku dalam keadaan begitu. Aku tahu dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya.

Apai aku. Aku bersyukur kepada Tuhan kerana dianugerahkan seorang ayah yang begitu penyayang. Begitu banyak memori. Masa hayatnya, apai begitu supportive dan memahami. Masa masih kecil, apai selalu hantar ke sekolah pakai motosikal. Hantar bekalan makanan, hantar duit ke sekolah. Sanggup bekerja susah payah bekerja di tapak pembinaan, tidur di kuaters papan lapis, kerja kontrak, bercucuk tanam demi menyara kami adik-beradik sekolah sehingga masuk U.

Tamat Tingkatan Lima, apai belikan aku typwriter, kerana menyokong minatku jadi penulis. Habis Tingkatan 6, apai hantar aku ke Kuching. Sanggup mengikat perut untuk menampung perbelanjaan. Tahun 2000, aku graduate dari Unimas, apai turut hadir. Bila ada orang merisik, apai nasihatkan aku supaya berfikir panjang, jangan tersalah pilih. Apai cakap, jangan pilih orang jauh, nanti apa-apa berlaku apai tidak tahu, apai tidak dapat tolong. Apai tidak mahu jauh anak perempuan. Aku akur. Maka suami yang aku pilih adalah restu sepenuhnya dari apai. Apai jadi pengiringku masa perkahwinan di gereja. Waktu aku melahirkan anak pertama, apai tunggu di luar bilik bersalin. Anak ketiga pun apai ada. Masa masih berpantang, apai menjagaku (kerana emakku pulang kampung sekejap). Apai masak bubur masa ku demam dan tiada selera makan.

Bukan itu sahaja, apai selalu mengambil berat kebajikan kami adik-beradik. Dia tahu gaji aku tak seberapa, kerja pun belum tetap pada masa itu, kena bayar rumah dan bil, apai hulurkan duit.

Katanya, apai pernah susah dan tahu bagaimana , jadi niat apai hendak kurangkan beban yang mana amat aku hargai. Apai begitu penyayang dengan cucu dan menantu.

Apai juga adalah satu-satunya peminat nombor satu aku. Kadang-kadang apai telefon, hanya untuk memberitahu ada nampak aku keluar tv, nama nampak byline aku dekat surat khabar.

Dia juga bangga ceritakan dengan kawan-kawan dia termasuk saudara-mara bahawa aku kerja ‘hartawan’ ( saya selalu usik dia hartawan dan wartawan mcm langit dan bumi).

Semasa aku masih kerja dengan Utusan Sarawak, apai selalu sembunyi-sembunyi beli Utusan Borneo. Jika di Miri dia beli US, jika di Niah dia beli UB. Apabila aku menyertai UB pada 2008, apai akhirnya mengakui dia sememangnya meminati UB sejak dulu. Sebelum itu, apai membeli UB secara sembunyi kerana tidak mahu aku berkecil hati. Ini yang membuat hatiku hancur dan terlalu sedih apabila apai pergi buat selama-lamanya. Tiada lagi panggilan.

Aku merasa diberi keistimewaan yang maha besar. Pertama, aku dibesarkan, disayangi oleh insan terbaik seperti apai dan kedua diberi peluang saat terakhir untuk bersama apai dan melihat dia menghembuskan nafas terakhir. Apai pergi selepas aku habis doa. Di satu sudut lain, aku berasa lega kerana apai tidak lagi mengharungi kesakitan.

Aku biasa dimanja dan ditatang bagai minyak yang penuh. Hari yang mendatang amat sukar, namun aku percaya apai sentiasa di sisi membimbing. Apai datang dalam mimpiku memberikan nasihat. Miss you so much apai. Till we meet again. Love you.

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published.