Padi Adan organik pertama di Long Langai, Ba Kelalan

 

 

 

 

 

 

Kapsyen gambar:

  1. Harrison menunjukkan perangkap dawai untuk mengurangkan populasi SGE.
  2. Harrison menunjukkan SGE yang menyerang padi.
  3. Tuaian padi SRI

 

SIPUT gondang emas (SGE) atau nama saintifiknya Pomacea sp merupakan ancaman utama tanaman padi Adan di tanah tinggi Ba Kelalan. Siput ini memakan batang, pucuk dan daun padi berumur 15 hari menyebabkan tanaman itu rosak dan tidak mengeluarkan hasil. SGE ini cepat bertelur dan setiap siput dewasa mampu  menghasilkan kira-kira 1,200 telur setiap bulan dengan setiap kantung telur mengandungi 200 hingga 300 biji telur.

Satu kaedah yang didapati berkesan dalam membantu pesawah di kawasan tanah tinggi seperti Long Langai di Ba Kelalan ialah melalui Sistem Intensifikasi Padi atau system of rice intensification (SRI).

SRI merupakan satu kaedah penanaman padi yang digunakan untuk meningkatkan hasil padi meliputi aktiviti menyediakan tapak tanaman, benih, penanaman, pembajaan, pengairan, penyelenggaraan dan kawalan penyakit secara organik.

Penanam padi Adan, Harrison Thadem Sakai, 35, dari Long Langai berkata, beliau tertarik untuk mencuba kaedah ini kerana ia berbeza melalui prinsip-prinsip pembaikpulihan dan penyuburan tanah, pembenihan, penanaman, pembajaan dan pengairan.

Harrison berkata sebagai contoh, prinsip pengairan yang diperkenal melalui SRI berjaya membantu beliau mengurangkan SGE di sawah padi.

SRI berbeza dengan kaedah kaedah konvensional yang membiarkan air sawah tinggi pada awal peringkat penanaman.

“Paras air yang tinggi memudahkan SGE merebak ke seluruh lokasi sawah. Siput ini kemudian melekat pada batang dan memakan anak padi yang baru ditanam,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di Long Langai, Ba Kelalan baru-baru ini.

Harrison merupakan antara 12 petani di Long Langai yang menyertai SRI, projek perintis Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dengan kerjasama SRI Lovely Farm dan Jabatan Pertanian Sarawak.

Harrison berkata, melalui kaedah SRI, beliau mengubah masa dengan melakukan pengairan pada waktu siang dan menurunkan paras air pada waktu malam.

Paras air yang rendah menyukarkan SGE bergerak dan merebak ke lokasi sawah yang lain.

Ujarnya, proses ini penting pada proses awal penanaman bagi membolehkan anak-anak padi yang baru ditanam dapat membesar dan tumbuh dengan kuat.

“SGE lazimnya tidak keluar banyak pada waktu siang kerana cuaca panas. Ini memudahkan saya mengawal SGE daripada merebak tanpa menggunakan racun,” katanya.

Selain itu, Harrison memasang perangkap dawai yang digulung dan menggunakan daun sebagai umpan untuk mengurangkan populasi SGE.Perangkap dawai itu diletakkan di tepi parit sawah dan pintu masuk air sawah.

Di samping itu, beliau mengutip SGE di sawah dan kemudian ditumbuk sehingga hancur untuk diberi makan kepada binatang peliharaan seperti itik.

Katanya, siput itu boleh dijadikan baja organik dengan merendamnya bersama gula apung selama satu hingga dua bulan dalam tong. Baja itu boleh digunakan untuk menggalakkan tumbuhan padi dan tanaman lain.

“Sebenarnya, SGE ini ada kebaikan dan memainkan peranan penting untuk mengurangkan rumput yang tumbuh di sawah.”

“Melalui kaedah kawalan semula jadi SRI, saya dapat memanfaatkan SGE dan pada masa yang sama meningkatkan hasil keluaran padi,” kata Harrison.

SRI juga turut menggalakkan petani seperti Harrison menggunakan bahan semula jadi untuk melindungi tanaman padi daripada serangga perosak dan kulat.

Antara bahan yang digunakan ialah sekam padi yang dibakar dan abunya kemudian ditabur di atas tumbuh-tumbuhan selain semburan air bancuhan tembakau untuk menggelakkan serangga perosak seperti kupu-kupu.

Manakala untuk baja, petani di Long Langai diajar menghasilkan baja penggalak tumbuhan organik menggunakan bahan sayur-sayuran, buah-buahan, ragi, dedak padi, gula merah, susu segar dan belacan.

Ujar Harrison, penggunaan baja penggalak menyebabkan tanah lebih subur, anak padi lebih cepat bercambah mengeluarkan daun dan batang.

Selain itu, tangkai padi tidak cepat reput, sentiasa hijau berbanding daun kuning dan batang padi mudah rebah jika tidak menggunakan baja penggalak.

Walaupun kaedah SRI ini baru dilaksanakan di Long Langai pada tahun 2018 dengan tuaian pertama pada tahun ini, namun peserta berpuas dengan kualiti padi yang dihasilkan.

Menurut Harrison, kebaikan ketara kaedah SRI ialah hasil tuaian bertambah dua kali ganda berbanding kaedah tanaman lama.

“Tahun ini untuk sawah padi seluas 0.16 ekar, saya berjaya menuai lebih tujuh guni atau 192 kilogram padi selepas dibersihkan. Pada tahun lepas saya hanya mendapat empat guni.”

“Walaupun terdapat serangan penyakit, namun ia tidak menjejaskan hasil tuaian malah hasilnya meningkat pada tahun ini,” katanya yang berazam untuk terus melaksanakan kaedah SRI pada masa akan datang./tamat.

 

 

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published.