Quilting Penawar Duka

Empat tahun lalu  pada 2016, apaiku disahkan menghidap kanser. Tahun yang sama aku mula menjahit, atau lebih tepat menjahit patchwork/quilting. Secara jujur, aku tidak pernah terfikir untuk membuat quilting. Pengakuan jujur,  aku pernah mengatakan dihadapan suami, quilting hanya membazir masa. Patchwork hanya membuang masa. Never.

Tahun pertama apai disahkan kanser adalah saat yang paling sukar bagiku. Kerana terlalu sedih, aku banyak  menangis, hampir setiap waktu. Menangis masa mandi, masa jemur kain, masa memandu, masa hendak tidur dan masa makan. Setelah berminggu-minggu dibaluti rasa sedih, aku mula memikirkan cara untuk menghiburkan hati. Pada masa itulah, quilting muncul difikiran. Pada malam itu, aku mengeluarkan mesin jahit yang lama tersimpan dalam kotak. Aku memang suka menjahit, tetapi bukan menjahit quilt.

Kebetulan pada masa itu. aku sudah memulakan perniagaan kain online , jadi tidak susah untuk mendapatkan kain. Cuma, aku tiada peralatan kerana tidak pernah terfikir untuk menjahit quilt. Dengan duit hasil jualan kain, aku mula membeli sedikit demi sedikit peralatan seperti cutting mat, rotary cutter, jarum dan pembaris.

Semasa apai menjalani pembedahan di Kuching, aku menangis keseorangan dalam bilik jahit. Aku menangis masa kali pertama memotong kain. Masa menjahit pun menangis. Salah jahit pun menangis. Aku cuba memujuk hati supaya tabah menghadapi semuanya. Enggan membebankan fikiran dengan apa yang berlaku, aku mula belajar quilt secara lebih serius di Youtube. Menonton tutorial cara memotong kain, mencari pattern, membeli kain dan cara mengendalikan mesin jahit Bernina.

Quilt pertama yang aku buat pada 2016 tidak pernah siap. Quilt kedua iatu Log Cabin siap pada 2017. Aku banyak menangis semasa menjahit quilt ini kerana memikirkan apai keadaan apai yang terpaksa berulang-alik dari Niah ke Bintulu, Kuching untuk rawatan chemo.

Namun ada kepuasan dan kegembiraan yang sukar diungkapkan apabila log cabin ini siap. Kepuasaan ini mendorong aku untuk menjahit quilt yang seterusnya. The rest is history.

Hari ini, aku sudah menjahit lebih 15 selimut quilt. Sepanjang empat tahun bertarung dengan perasaan sedih, aku menemukan kekuatan diri semula. Menjahit quilt mengajar aku supaya fokus dengan perkara yang positif.

Aku berharap anda yang sedang bersedih atau struggle dengan sesuatu dalam kehidupan, jangan putus asa. Semoga perkongsian ini memberi anda galakan untuk melakukan yang terbaik walau dalam apa jua keadaan.

 

 

 

 

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published.