Same-same Hanoi

 

 

Hujan masih turun rintis-rintis. Saya memandang ke arah jalan. Jika hujan berterusan, sukar untuk  berjalan-jalan. Saya fikir, bagus tunggu sehingga hujan reda, baru keluar. Saya kembali ke sofa duduk bersebelahan Lisa, pekerja bahagian kaunter hotel tempat saya menginap. Dia sedang bercerita dengan seorang lagi penghuni hotel, Mike yang turut menunggu hujan reda untuk keluar. Saya sebenarnya tidak berminat untuk mendengar perbualan mereka, namun saya pasang juga telinga. Lisa, gadis Vietnam yang petah berbahasa Inggeris mempunyai rupa paras yang menarik.  Namun pagi itu saya lihat dia kurang terurus. Mungkin letih tidak cukup tidur sebab semalaman berjaga di lobi. Selang beberapa minit, Mike bingkas bangun meninggalkan kami berdua.

“Saya dengar kamu hendak berhenti kerja di sini,?” saya bertanya kepada Lisa, sekadar mengulangi apa yang saya dengar daripada perbualannya dengan Mike.

“Ya, saya hendak berhenti bulan depan.”

“Mengapa?”

“Argh..di sini banyak masalah.”

“Lepas berhenti kerja di mana?”

“Entah. Saya belum pasti masa depan saya.  Saya bukan orang Hanoi, tetapi dari Ho Chi Minh.”

Saya semakin brminat mengorek cerita dari Lisa.

“Sudah empat tahun saya bekerja di sini. Saya berkahwin dengan teman lelaki saya yang berasal dari sini juga, namun kami bercerai.”

“Dia teman lelaki saya yang pertama, saya sangka kami dapat hidup bahagia apatah lagi selepas mempunyai seorang anak lelaki. Namun, segala-galanya berubah. Terlalu banyak perbezaan timbul antara saya dengan dia sehingga kami bercerai.”

“Perbezaan bagaimana..?”

“Walaupun kami sama orang Vietnam, namun antara orang Hanoi dan Ho Chi Minh amat berbeza. Saya orang timur dia orang barat. Perkahwinan itu menyedarkan saya bahawa kami tidak sama, ada jurang.”

“Kamu tahu, dulu saya menangis tiap malam memikirkan nasib saya. Sekarang, jika ada orang bertanyakan status saya, saya beritahu mereka saya bujang. Saya tidak boleh beritahu saya sudah bercerai, itu amat memalukan. Masyarakat kami  memandang hina terhadap perempuan yang bercerai. Tiada lagi orang yang suka kerana saya ibu tunggal.”

“Jadi mengapa Lisa tidak pulang ke Ho Chi Minh sahaja. Anak dimana sekarang?

“Anak saya dijaga oleh emak saya di Ho Chi Minh. Saya tidak dapat pulang ke sana kerana tugas saya perlu menguruskan pelancong dari China. Hanya saya boleh bercakap bahasa Mandarin di sini, mahu tidak mahu saya terpaksa di sini.”

Kami diam seketika.

“Mengapa tidak jadi pemandu pelancong daripada duduk di dalam hotel?

“Pemandu pelancong dan hotel same-same. Entahlah, saya binggung memikirkan.”

Hujan mulai reda. Saya meminta diri daripada Lisa untuk berjalan di Old Quater.

**********************************

Satu perkara yang saya suka di Hanoi, bunga dan makan. Ke mana-mana saya berjalan terutama di kawasan Old Quarter, ada sahaja penjual bunga terutama pada waktu pagi. Waktu pagi juga bagus kalau anda jenis yang suka ambil gambar. Untuk pengetahuan pembaca budiman, gambar kat atas tu masa saya ke Hanoi pada tahun 2012. Kisah di atas tu pun kisah benar, saya catatkan pada 2012 dan tersimpan dalam diari. Ya, setiap perjalanan ada kisah dan cerita tersendiri. Sebab itulah saya suka mengembara, bukan semata-mata shopping atau ambil gambar untuk letak di Instagram atau Facebook. Saya suka mendengar cerita daripada orang yang tidak dikenali. Tak kisahlah sama ada orang itu penyapu sampah atau orang ternama. Gelar saya busy body atau suka jaga tepi kain orang, tak apa. Saya akan mendengar cerita itu selagi ia bermanfaat.

Ok, cerita pasal Hanoi ni, jangan tak tahu ada beribu-ribu motosikal di atas jalan raya. Jadi, setiap kali menyeberangi jalan, anda tidak ubah seperti mahu membunuh diri dengan dilanggar motosikal! LOL. Kenalan di Hanoi memberitahu, ada caranya melintas atau menyeberangi jalan di Hanoi. Kalau hendak melintas, berjalan terus ke hadapan. Jangan sekejap undur, sekejap berjalan ke hadapan. Mesti yakin kalau tak kena langgar. Ha ha ha.

Caption Gambar

1) Penjual sangkar burung

2) suasana pagi di Old Quarter

3, 4, 5 ) Makanan di Hanoi

6) Berbeca mengelilingi Old Quarter

7) Duduk di sebuah cafe yang kecil sampai bergesel pinggang dengan pelanggan lain.

8, 10 ) Kabel elektrik pemandangan biasa di Hanoi

9) Penjualan daging anjing..ewwww

11) tonik ular

12) Dong Xuan Market

13) Ribuan motosikal di Hanoi

Cuma yang tidak berapa best masa saya pergi (Ogos) musim hujan dan tanah runtuh. Hujan pelik sikit, tak berhenti-henti sepanjang hari menyebabkan sukar untuk berjalan. Kalau nak pergi, saya cadangkan awal tahun, sejuk sikit. Saya menghabiskan beberapa hari di Hanoi, sebelum meneruskan perjalanan ke Van Phuc Silk Village, Ha Long Bay, Cat Ba Island dan Sa Pa. Saya akan kongsikan ini di lain posting ya.

 

 

 

 

 

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published.