Memori 1996/1997

Kenangan di Tanjung Batu, Bintulu  1996/1997. (Gambar oleh N/S)

Andai dapat diputar waktu, inginku kembali ke tahun 1996 dan 1997. Mungkin keadaan berlainan. Mungkin cinta itu tidak perlu berlalu kerana keegoan. Terkilan, kerana cinta yang sedang membara tiba-tiba terputus di tengah jalan. Selepas perpisahan pada 1997, aku belajar menerima hakikat, menangisi kesilapan, menyesali keegoan dan belajar melupakan cinta pertama. Tiga tahun, mencari kekuatan sendiri dan mengembalikan keyakinan masih ada cinta lain. Ada fasa tertentu aku menyalahkan diri kerana emosi dan ego membunuh cinta kami.

Namun siapa aku untuk mengubah masa silam dan menentukan masa depan? Masa berlalu, tahun demi tahun. Kukira kami tidak akan berjumpa lagi. Tidak pernah terlintas dalam fikiran.

Februari 2017, kami bertemu semula selepas 20 tahun berpisah. Dua puluh tahun menunggu untuk mengakui kesilapan, keegoan dan saling bermaafan. Ada satu perasaan yang sukar diungkapkan, sekurang-kurangnya aku tahu dia sudah memaafkan dan mengakui kesilapan sendiri. Aku menghargai pertemuan dan keupayaan dia menceritakan semua memori yang pernah kami cipta, 20 tahun lalu. Dia umpama time machine. Aku menghargai usaha dia untuk mengikuti perkembanganku di blog dan memberi sokongan penuh agar terus berkarya.

Pujangga pernah berkata, cinta pertama tidak akan pernah hilang walaupun tidak bersama. Bukan kerana aku tidak dapat move on dan tidak bahagia, namun aku tiada sebab untuk membencinya. Adakah kerana aku dilahirkan berbintang Virgo, terlalu setia mengingati cinta pertama sehingga tiada apa yang dapat mengubah?  Untuk N, semoga berbahagia selalu dan jaga diri baik-baik.

 

 

 

 

 

 

 

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published.