Hello 2018!

 

 

 

Gambar bermain salji di  Windmill, Amsterdam.

 

Selamat bertemu kembali, buat pertama kali saya nak ucap selamat Tahun Baru 2018 kepada semua. Agak lama saya tak menulis, masa berlalu begitu pantas. Perlahan atau cepat, sedih atau gembira, 2017 pastinya meninggalkan kenangan yang berharga. Saya harap 2018 membawa pengisian yang lebih bermakna; misalnya lebih matang dalam membuat keputusan, lebih positif/gembira (saya banyak bersedih setahun dua kebelakangan ini), lebih bijak mengurus perbelanjaan dan isi masa dengan perkara yang bermanfaat.

Semoga 2018 anda akan melupakan perkara silam yang  melukakan perasaan. Jika dapat  jangan difikirkan sangat. Saya akui, ada fasa tertentu saya tabah, namun ada masa tertentu perasaan saya sedih dengan perkara yang berlalu. Sedih sehingga tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya percaya, kita harus memaafkan masa silam, kesilapan lalu dan anggap ia sebagai pengajaran. Manusia. Semua melakukan kesilapan cuma dalam bentuk yang berbeza. Maaf dan memaafkan. Tiada perkara yang teramat indah, jika seseorang yang pernah dilukai/melukai memaafkan dan mengakui kesilapan. Saya percaya, ia satu kelegaan jika berpeluang menemui jawapan, meskipun kadang kala ia tidak perlu berlaku demikian. Hidup tetap diteruskan.

Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmah tersendiri. Sekadar mengimbas, tahun 2017 mencatat kenangan sendiri, ada satu peristiwa yang berlaku diluar jangkaan saya. Selepas 20 tahun, saya bertemu kembali dengan seseorang yang pernah saya anggap istimewa. Never in my wildest dream. Begitu lama, untuk kami menemui jawapan apa yang berlaku pada masa itu. Dengan mengakui keegoan masing-masing dapat menjawab segala persoalan yang selama ini tinggal tiada jawapan. Kemaafan itu satu keindahan yang tidak terungkap. Pertemuan itu juga menyedarkan saya, biarpun berpuluh tahun masa berlalu, ada perkara tertentu tidak akan berubah. Biarlah ia menjadi sejarah, kerana saya tidak bisa meluahkan perasaan di sini. Selalu. Meruan. Tidak akan berubah sampai bila-bila, itu yang yang dapat saya simpulkan. Biar masa yang menentukan, kerana  saya hanya manusia biasa penuh kekurangan. Saya tidak berharap.

Semoga 2018 juga membawa erti yang mendalam untuk diri sendiri. Sayangilah diri sendiri, jaga kesihatan dan jangan sesekali pandang rendah dengan potensi yang ada. Setiap orang ada kelebihan tersendiri. Jika ada yang merasakan diri serba kekurangan, terlalu rasa rendah diri, saya faham kerana saya sendiri melaluinya. Jangan. Jangan biarkan kata-kata orang yang negatif mematahkan semangat untuk berjaya. Saya tahu bagaimana perasaan diejek dan di reject. Saya sudah biasa diejek kerana berbadan kurus, mata sepet dan bermacam-macam. Direject kerana tidak cantik/tidak memenuhi standard kecantikan wanita Iban, tidak cukup tinggi, tidak cukup besar dan bermacam macam tidak. Sabar, yang mencintai/menyukai tidak akan peduli rupa paras walaupun kurang cantik. Yang tidak mencintai tetap tidak akan mencintai walaupun cantik.Tidak perlu semua orang menyukai kitai, cukuplah hanya beberapa orang yang menyayangi dan sentiasa bersama dalam susah dan senang.

Secara peribadi, saya sudah mencapai satu level tak peduli dengan penerimaan orang. Orang suka saya atau tidak, bukan masalah saya. Saya pun tak perlu mengejar terhegeh hegeh muka tak malu untuk diterima, no way. Tak suka tak pa, tak da lagi bagus. Sudah biasa diperbodohkan dan diambil kesempatan, saya merasakan kadang-kadang saya takda perasaan. Saya hargai beberapa orang yang saya anggap ikhlas dan tidak pernah berubah menerima saya seadanya selain daripada keluarga saya sendiri.

Harga diri penting. Semoga 2018 anda akan lebih kenal siapa kawan sebenar siapa yang berpura-pura dan menggunakan anda untuk kepentingan. Kesetiaan tidak dapat dibeli dengan duit. Begitu juga kepercayaan dan persahabatan. Berhati-hati apabila setiap kebaikan anda sentiasa dibayar dengan duit, kerana sampai satu masa mereka akan meletakkan nilai anda dengan wang yang diberi.Adakah nilai anda RM50? No. Berhati-hati, lebih baik berbuat kebaikan tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Semoga 2018 anda akan lebih banyak mengembara kerana ia membuka minda dan fikiran. Tidak payah jauh, yang dekat dekat pun okay. Nikmatilah udara segar, alam sekitar, pantai, gunung dan rasailah segar air sungai. Lakukan apa sahaja hobi yang anda minat, berjahit, memasak, menulis, travel, photografi, melukis atau apa sahaja.

Ok, cerita mengenai gambar di atas, saya dan dua orang rakan dari Pustaka Miri dan seorang lagi rakan nekad mengharungi salji tebal dan cuaca sejuk melampau semata-mata untuk gambar di Windmill. Seronok tak terkata kerana kami semua sama kepala, betul betul gembira dapat bermain salji. Tak dapat dilupakan sesi bergambar menggunakan pakaian tradisional Orang Ulu, terima kasih kepada rakan yang sanggup membawa beg berat ke hulu hilir. Kenangan akan diingat selama-lamanya. terima kasih sahabat.

 

Selamat Tahun Baru 2018!

 

 

 

 

 

 

 

 

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *