Ceritaku I

 

Hanya tinggal beberapa hari lagi, saya akan berangkat ke London dan dari sana ke Paris, Brussel dan Amsterdam. Saya tidak pernah terfikir walau sekelumit pun akan ke sana pada tahun ini, memandangkan beberapa keadaan yang tidak mengizinkan. Sebagai seorang  introvert tegar, amat jarang saya meluahkan perasaan melalui media sosial baik melalui Facebook mahupun blog. Mungkin ini yang pertama. Beberapa bulan lalu amat sukar dalam hidup saya. Sepanjang 2016 hingga pertengahan tahun ini, saya banyak menangis, hampir setiap masa terutama ketika saya bersendirian, memandu, makan, mandi,  jemur kain, menjahit dan bila-bila masa perasaan sedih itu datang.

Saya banyak mencari kekuatan diri sendiri dan belajar untuk menerima keadaan. Saya tidak akan lupakan hari apai menelefon, memberitahu dia ada ketumbuhan. Bagai dipanah petir, saya tidak dapat merasakan anggota badan, malah kaki serasa tidak berpijak di atas lantai. Bulan-bulan seterusnya amat sukar. Apai disahkan kanser tisu jenis sarcoma/melanoma tahap 2.

Selesai menjalani rawatan kimoterapi di Bintulu, apai mendapatkan rawatan radioterapi di Kuching. Ya, setahun lebih, perasaan saya seperti roller coaster, sekejap di atas sekejap dibawah. Bagi yang ada pengalaman ahli keluarga menghidap kanser, anda akan tahu bagaimana dalamnya perasaan sedih itu. Menyaksikan kesakitan apai bagaikan membawa seluruh perasaan dan jiwa saya. Namun apai juga sumber kekuatan saya, segala nasihat dan sikap positifnya membuatkan saya lebih kuat untuk menghadapi situasi begini.

Untuk menggelakkan dirundung perasaan sedih dan kemurungan sepanjang masa, saya mula belajar menjahit quilting dan tampung seribu. Saya mula menjahit cross stitch yang hampir 15 tahun saya tinggalkan. Saya menjahit hampir setiap masa untuk menghilangkan rasa sedih..dan sudah tentu saya ke gereja dan berdoa kekuatan dan bimbingan.

Kerana terlalu sedih, jiwa kosong ditambah kemurungan ditahap dewa, entah bagaimana saya mendapat idea untuk menghubungi bekas teman lelaki, N, yang saya tidak pernah hubungi dan temui dalam tempoh 20 tahun. Jangan salah sangka, hubungan saya dengan suami amat baik, malah dia cukup memahami situasi saya dan maklum perkara ini. Motif saya menghubungi dia, untuk bertanya khabar, mungkin itu dapat membawa sedikit kegembiraan. Saya kenal N, semasa Tingkatan 6 1996. Cinta pertama saya. Tinggi lampai, tampan, pemalu dan baik orangnya.  Hubungan tersebut berakhir kerana perselisihan faham selain keluarga tidak merestui kerana saya akan melanjutkan pelajaran. Saya cuba jernihkan keadaan (kerana merasakan perselisihan berpunca daripada saya) namun gagal. Akhirnya N pergi begitu sahaja tanpa kata putus, dan saya membawa hati luka ke Kuching untuk melanjutkan pelajaran. Februari 1997, itulah kali terakhir saya berjumpa dengan N, dan selepas itu saya tidak pernah mencari atau menjejakinya lagi, walaupun saya sering pulang ke Miri setiap kali cuti semester. Hanya sekitar tahun 2000 – 2005 saya mendengar N sudah berkahwin.

Dipendekkan cerita, sekitar 2010, saya membuka blog yang pertama. Sambutan bagus, ramai pembaca dari merata-rata dunia. Saya masih ingat, ada pembaca dari Russia..saya kata..wow orang dari Russia baca blog, rasa bangga. Tetapi, saya tidak pernah terfikir yang pembaca tersebut adalah N. Sehinggalah semasa pertemuan Februari tahun 2017, N mengakui dia sering membaca blog saya semasa bekerja di Russia, malah pernah cuba menghubungi namun tidak pernah mendapat balasan. Selepas 20 tahun, N mengakui keegoan pada masa itu menyebabkan dia tekad tidak mahu berdamai, meskipun kami tidak pernah berkelahi besar, hanya perselisihan. hey, masa tu N berusia 18 tahun dan saya 20, bertemu semula selepas uban tumbuh dikepala.

Tiada jodoh. Namun saya  memahami keadaan pada masa itu dan situasi kami yang berbeza sekarang. Namun, saya tertarik dengan tahap ingatannya yang terlalu bagus, sehingga N masih ingat detail yang pernah kami lakukan 20 tahun lalu. Contohnya, N masih ingat apa yang dikatakan oleh nenek saya yang menyukai gambar kami, tempat perhentian bas yang kami terpaksa berjalan kaki, saya memakai cermin mata dan perkara-perkara kecil yang saya sendiri sudah lupa. Malah N memberitahu, emaknya masih menyimpan gambar saya.

Selepas pertemuan itu, kami masih berhubung melalui SMS dan Whatsapp, namun selepas beberapa bulan, saya mengambil keputusan nekad untuk tidak menghubungi N. Saya sedar, tidak mungkin bekas kekasih menjadi sahabat, apalagi jika masing-masing sudah berkeluarga. Tidak semudah yang dijangkakan. Saya merasakan ia tidak wajar diteruskan meskipun sedari awal sebagai sahabat, memandangkan masing-masing sudah berkahwin dan mempunyai keluarga. Move on. Kedua, tidak adil kepada suami saya dan isteri N. Janganlah kita menjadi orang ketiga yang masuk campur dalam hidup orang lain, terutama hal rumah tangga. Sebagai seorang manusia biasa, saya juga  melakukan kesilapan, maka belajar dari kesilapan lalu. Jangan kerana keseronokkan sementara, sehingga sanggup menghancurkan keluarga dan kebahagian orang lain. Kita tidak tahu apa yang terjadi pada masa hadapan, namun saya percaya jika kita melakukan kebaikan, apa sahaja yang kita lakukan akan diberkati. Saya doakan N bahagia selalu. Pengajaran, jangan cuba berhubung dengan ex lebih-lebih lagi jika masing-masing sudah berkahwin. Not worth it, tidak berbaloi untuk menghancurkan keluarga yang bahagia kerana ikatan kasih lama yang sudah terlerai.Period.

Beberapa bulan sebelum 2017 menutup tirai, saya sudah kembali menemui kekuatan diri saya sendiri.Saya belajar untuk menghargai dan menikmati hidup HARI INI, kerana segala kesakitan dan kepedihan yang dialami hari ini akan berlalu jua.

Saya berasa amat bertuah kerana dijemput menyertai rombongan ke London, Paris, Brussel dan Amsterdam, saya jangkakan ia berlaku dalam 3 tahun akan datang, namun lebih awal daripada yang saya jangkakan. Sebelum mengakhiri, stay positive and be kind!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *