This, Madame, is Versailles

 

 

Caption Gambar 1: Palace of Versailles, Gambar 2 Gardens of Versailles

 

Melancong ke Paris, tanpa melihat kehebatan Istana Versailles atau ‘Chateau de Versailles’ bagi orang Perancis, umpama melawat Rome tanpa pergi ke Vatican.

Kehebatan sejarahnya, glamor dan tarikan bangunan serta taman yang bagaikan tiada penghujung menjadikan Versailles umpama perangkap yang menjerat pelancong untuk datang ke sini jika ke Perancis atau Paris.

Versailles yang terletak 20 km di barat Paris ini pada asalnya tempat pemburuan kegemaran Louis XIIII sekitar tahun 1631. Namun pewaris takhta Raja Louis XIV telah membuka kawasan itu dan membina istana sehingga menjadi salah satu istana yang terbesar di dunia.

Semua urusan pemerintahan dan mahkamah yang sebelum itu berpusat di Paris dipindahkan ke Versailles pada 1682.

Namun, bukan Raja Louis XIV yang popular, melainkan Ratu Marie Antoinnette, puteri dari Austria yang begitu gemilang dengan kecantikan selain skandal dan kisah rumah tangganya yang tidak bahagia.

Ratu Perancis (1755-1793) dan isteri kepada Louis XVI, masih menjadi satu tokoh yang paling menarik dalam sejarah Versailles. Digambarkan sebagai seorang yang ‘disukai dan jujur’ oleh kakandanya Maharaja Joseph II, Marie Antoinette sebenarnya baginda di anggap ‘Rejected Queen’ di kalangan beberapa pegawai pemerintah di Versailles pada masa itu. Ratu Marie Antoinette dihukum pancung pada 16 Oktober 1793 semasa Revolusi Perancis.

Apakah keistimewaan Versailles? Lebih 3 juta pelancong datang ke sini setiap tahun dan bagi saya sesuatu yang merugikan jika tidak datang ke sini.

Versailles ini merupakan istana yang paling terkenal dalam sejarah Perancis khususnya semasa era pemerintahan beraja dan Revolusi Perancis.

Justeru, hari kedua di Paris, saya meluangkan masa seharian suntuk di Versailles, walaupun saya sedia maklum tempoh berada di Paris amat terhad.

Dari hotel, saya mengambil kereta api dari stesen Musée d’Orsay yang langsung terus ke Versailles. Perjalanan mengambil masa kira-kira 40 minit.

Istana tersebut dibuka mulai jam 9 pagi dengan yuran masuk €18 (passeport tiket). Selesai berbaris membeli tiket, saya terus menuju ke pintu masuk A. Kawasan yang luas saujana mata memandang. Untuk sampai ke satu lagi pintu, saya perlu berjalan beberapa minit sehingga kaki saya lenguh, namun ia tidak terasa kerana perasaan terlalu teruja untuk melihat istana tersebut.

Saya tertarik dengan keindahan seni  bina Perancis, pagar besi berwarna keemasan, ukiran patung, taman yang menghijau dan lukisan cantik di bahagian siling bangunan.

Oleh kerana Oktober adalah musim luruh, tidak banyak bunga yang saya nampak. Saya kemudian berjalan-jalan di sekitar taman dan air pancuran. Malah saya sempat picnic sambil menikmati angin dingin dan melihat daun-daun luruh ke permukaan tanah.

Apa yang pasti, walaupun seharian suntuk berada di sana, saya rasakan masih tidak mencukupi. Saya banyak berhenti untuk mengambil gambar sambil menghayati pemandangan di setiap sudut.

Namun satu kejadian yang cukup membuat saya merasa sedih dan marah. Malam tersebut, sekembalinya pulang ke hotel, saya memindahkan gambar-gambar tersebut ke dalam komputer riba memandangkan kad memori kamera sudah penuh. Kesilapan saya ialah membuang gambar-gambar Versailles dalam kad memori kerana memikirkan semuanya sudah ada dalam komputer riba, sedangkan sebenarnya satu pun tiada.

Saya benar-benar kecewa dan marah dengan diri sendiri. Mujurlah saya membawa sebuah lagi kamera, namun kualiti gambar bukan seperti yang diharapkan. Saya berusaha untuk menjejaki gambar tersebut termasuk mencari perisian komputer, namun gagal. Betul-betul tiada mood saya dibuatnya. Hampir merosakkan seluruh mood saya di Paris.

Pengajaran ketujuh: Apabila ke luar negara atau melawat tempat yang istimewa seperti Versailles, pastikan membawa kad memori yang mencukupi supaya anda tidak perlu membuang gambar-gambar tersebut untuk mengosongkannya. Ambil gambar menggunakan telefon pintar atau kamera kecil, manalah tahu sekiranya kamera yang satu hilang atau rosak.

Fakta menarik mengenai Versailles:

  • Versailles pada asalnya adalah tempat memburu yang menjadi kegemaran Louis XIII, yang kemudian memerintahkan kawasan itu dijadikan lodge pemburuan pada 1624. Pada 1632, Louis XIII mendapat kebenaran daripada keluarga Gondi untuk membesarkan kawasan itu.
  • Louis XVI dilahirkan di Versailles dan menjadi tempat tinggal bersama permaisuri, Marie Antoinette sehingga mereka diturunkan takhta.
  • Chateau de Versailles merupakan satu bangunan yang paling extravaganza di seluruh muka bumi
  • Istana terbesar di dunia dengan memiliki lebih 700 bilik, 2000 jendela, 1,250 tempat pendiang api, 67 tangga dan lebih 1,800 ekar taman.
  • Struktur yang paling terkenal di Istana Versailles ialah Hall of Mirrors, sepanjang 240 kaki di mana sebanyak 3,000 lilin pernah dinyalakan.
  • Istana ini dibuka setiap hari kecuali Isnin, mulai jam 9 pagi hingga 5.30 petang manakala Versailles Park dibuka setiap hari dan masuk adalah percuma.
  • Chateau de Versailles bukan hanya terkenal kerana bangunannya, tetapi ia menjadi simbol sistem pemerintahan monarki sepenuhnya.
  • Sebahagian koleksi lukisan disimpan di Louvre Museum manakala sebahgian lagi di National Library and Conservatory of Arts and Crafts
  • Selepas Revolusi Perancis, Napoleon Bonaparte menduduki Versailles sehingga beliau melepaskan takhta. Semasa Louis-Philippe memerintah, Chateau de Versailles dijadikan muzium pada 1830.

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *