Pesona Bali

Di Tanah Lot, sedang hamil 4 bulan 🙂

Pantai Kuta

 

Uluwatu

Canang Sari
Kerajinan batik

 

Babi guling
Tarian Kecak

 

BALI benar-benar mempersona.  Selain persekitaran yang nyaman untuk berlibur, keindahan deburan ombak pantainya, tarian tradisional dan seni budaya serta makanan yang menyelerakan sesiapa pun yang datang. Bali juga terkenal dengan perusahaan atau kerajinan, penduduknya begitu kreatif dalam menghasilkan seni, sebut sahaja – seni batik, emas, lukisan, ukiran kayu, batik, kerawangan dan kraf tangan, semuanya ada di sini.

Apa yang pasti, Bali seakan tak pernah bosan untuk dijelajahi. Banyak tempat menarik di beberapa kawasan pulau dewata ini memang ada. Antaranya, Kuta, Legian, Gianyar, Ubud, Uluwatu dan Kintamani. Setiap tempat ini mempunyai tarikan tersendiri, bergantung kepada kemahuan dan selera pengunjung sendiri.

Pantai Kuta

Kunjungan saya ke pantai Kuta disambut oleh beberapa wanita separuh abad yang menjual kain, kraf tangan seperti gelang tangan dan rantai. Dengan penuh agresif mereka mula menawarkan barang. Ada yang menghulurkan gelang tangan, kain selain menawarkan khidmat mengurut kaki dan mengikat rambut.

“Ibu, belilah. Murah. Hanya 50 ribu. Saya meminta harga dikurangkan, kemudian wanita tersebut menjawab, “Yes, please ma’am, you tell me the price, how much you want..you tell me lah. Pity us..,” kata seorang wanita sambil menghulurkan senduk kayu.

Saya datang dari jauh, ini bukan sambutan yang saya mahukan, apa lagi dipaksa membeli senduk. Jika hanya seorang penjual, saya mungkin membeli. Tetapi, tiga hingga lima orang mengerumuni saya dalam satu masa. Selepas gagal memujuk saya, mereka mendekati pelancong lain dengan cara yang sama.

Sejak 1970, pantai Kuta tidak asing bagi pelancong khususnya yang mempunyai hobi surfing, selain aksesnya mudah kerana tempatnya yang strategik. Pantai Kuta juga memiliki ombak yang sangat baik bahkan amat ‘dahsyat’ bagi penggemar surfing.

Justeru, pantai Kuta merupakan salah satu pantai di Bali yang dianggap pantai paling digemari surfer di dunia. Maka tidak hairanlah, apabila melihat pelancong lalu-lalang sambil membawa surfingboard, malah kedai yang menjual kemudahan sukan ini juga berlambak di kiri kanan lorong jalan kecil.

Terletak di sebelah selatan Denpasar, pantai Kuta sering disebut sebagai pantai matahari terbenam, sebagai lawan dari pantai Sanur.

Di sini, banyak kedai, restoran, tempat mandi-manda selain menjemur diri. Selain keindahan pantainya, pantai Kuta menawarkan pelbagai jenis hiburan lain misalnya bar dan restoran di sepanjang pantai menuju Legian, antaranya Hard Rock Cafe, Kamasutra, Roso Vivo, Ocean Beach Club dan banyak lagi.

Selain itu, pusat beli-belah seperti Discovery Shopping Mall, Dataran Kuta dan restoran serta warung makan yang menawarkan pelbagai hidangan. Malah Lapangan Udara Ngurah Rai terletak tidak jauh dari Kuta.

Legian

Bagi yang mahu merasai kehidupan malam di Bali, Legian adalah satu daripada tempat yang dianggap tidak pernah tidur. Terletak berhampiran Kuta, Legian mulai ‘hidup’ pada jam 10 malam. Muzik kedengaran dari setiap sudut kelab malam yang terletak sepanjang jalan.

Pelbagai macam orang dari seluruh pelosok dunia dapat dilihat di kawasan Legian. Tinggi, kurus, tua, muda, berkulit gelap, berkulit putih, berambut kerinting, perang atau hitam, semua ada di sini. Lebih 50 kelab terletak sini, antaranya Sky Garden, Bounty dam Mbargo. Tidak perlu binggung, kerana masing-masing memainkan pelbagai jenis muzik yang berbeza seperti jazz, rock, dan hip hop.

Selain strategik, Legian menyediakan banyak hotel termasuk hotel murah selain pengangkutan yang senang diperolehi, sama ada menyewa teksi, motorsikal atau berkuda untuk destinasi yang dekat. Saya cadangkan lebih baik berjalan kaki kerana banyak hal-hal menarik dapat ditemukan di sepanjang jalan dan jika letih panggil sahaja teksi untuk menghantar pulang ke hotel.

Namun, Legian mempunyai cerita sedih apabila bom Bali mengorbankan lebih 200 orang pada 2002 di kawasan ini. Satu monumen didirikan untuk memperingati tragedi Bom Bali, di di kawasan kelab yang menjadi sasaran pengeboman.

Tanah Lot

Tanah Lot terletak di Tabanan, kira-kira 45 minit dari kawasan Kuta. Terdapat dua Pura iaitu tempat bersembahyang penganut agama Hindu di Bali, terletak di atas batu besar. Satu terletak di atas bongkahan batu, apabila air pasang pura ini akan kelihatan dikelilingi air laut manakala satu lagi terletak di sebelah utara Pura Tanah Lot,  yang terletak menganjur ke laut dan di atas tebing.

Penunjung boleh berjalan di sekitar pura tersebut, namun tidak dibenarkan naik ke atas kerana tempat itu suci. Pura Tanah Lot merupakan sebahagian pura Sad Kahyangan.

Sesuai dengan kedudukan di tengah pantai, ia dijadikan tempat pemujaan dewa-dewa penjaga laut. Biasanya pengunjung datang pada waktu petang untuk melihat keindahan matahari terbenam. Terdapat banyak gerai yang menjual produk tempatan seperti perhiasan rumah, ukiran, kraf tangan, pakaian, ukiran tatu dan warung menjamu selera.

Menurut Legenda Pura Tanah Lot didirikan oleh didirikan oleh seorang Brahmana dari Jawa yang bernama Danghyang Nirartha yang menganut ajaran Hindu, dan beliau berhasil menguatkan kepercayaan masyarakat setempat mengenai ajaran Agama Hindu dan Sad Kahyangan.

Bendesa Beraban merasa tercabar kerana banyak pengikutnya meninggalkannya dan menjadi pengikut Danghyang Nirarta. Kemudian Bendesa menyuruh Danghyang Nirartha pergi meninggalkan Tanah Lot. Danghyang bersetuju tapi sebelum meninggalkan Tanah Lot, dengan segala kekuatannya telah memindahkan bongkahan batu ke tengah pantai dan membangun pura disana. Ia juga mengubah selendangnya menjadi ular penjaga pura.

Ular ini masih ada sampai sekarang dan ular ini termasuk jenis ular laut yang mempunyai ciri-ciri berekor pipih seperti ikan, warna hitam berbelang kuning. Bendesa Beraban merasa takjub dan kemudian menjadi pengikut Danghyang Nirartha.

Uluwatu

Satu lagi tempat wisata yang harus dikunjungi ialah Uluwatuyang terletak di hujung selatan pulau Bali dan mengarah ke samudera Lautan India. Keunikan yang terdapat di sini pura yang didirikan di atas batu karang yang menganjur ke arah laut, dengan ketinggian sekitar 70 meter. Apabila diperhatikan dari bawah permukaan laut, kelihatan saling bertindih dan berbentuk kepala di atas batu-batu tebing. Justeru ia disebut Uluwatu, ulu bererti kepala dan watu bererti batu.

Pura Uluwatu didirikan sektar abad Ke-11, berfungsi sebagai tempat pemujaan Dewa  Rudra. Pura Uluwatu dipercaya oleh umat Hindu sebagai penyangga dari 9 mata angin atau disebut dengan Pura Sad Kahyangan. Setiap hari di lokasi pura, diadakan pertunjukan Tari Kecak dengan berlatar belakang senja yang indah.

Tari Kecak adalah sejenis tarian yang paling unik, tidak diiringi dengan alat muzik, tetapi diiringi dengan paduan suara sekitar 70 orang lelaki. Tarian ini berasal dari tarian sakral (Sang Hyang).

Pada tari Sang Hyang seorang yang sedang dirasuk roh berkomunikasi dengan para dewa atau leluhur yang sudah disucikan. Dengan menggunakan si penari sebagai media penghubung, para dewa atau leluhur dapat menyampaikan sabdanya. Pada tahun 1930-an, mulai disisipkan cerita epik Ramayana ke dalam tarian tersebut.

 

 

 

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *