Mercedes Benz

 

Sebahagian model Mercedes yang dipamerkan
logo Mercedes yang mengekalkan bintang tiga bucu

Gallery of Celebrities (dari kiri) kereta milik Mendiang Lady Diana dan model Popemobile yang digunakan oleh Pope John Paul semasa melawat Jerman.

Nota: Artikel ini ditulis semasa lawatan ke muzium Mercedes di Stuttgart pada 2011.

Saya percaya, semua orang pernah melihat atau sekurang-kurangnya mendengar jenama kereta mewah Mercedes-Benz. Tahukah anda bahawa Mercedes-Benz merupakan jenama kereta yang tertua di dunia yang masih mengekalkan pretasinya selama 126 tahun sehingga ke detik ini?

Mercedes-Benz beroperasi, melangkaui puluhan dekad dan generasi, dari satu satu era awal perkembangan pengangkutan, melintasi zaman peperangan dunia sehingga ke tahap ledakan globalisasi dan era baru, Mercedes-Benz masih gah sebagai jenama kereta terulung di planet bumi masa kini. Mercedes-Benz mungkin tidak wujud tanpa idea bernas daripada pengasasnya, Gottlieb Daimler dan Carl Benz.

Ia merupakan satu-satunya muzium di dunia yang mempamerkan rekacipta dan inovasi Mercedes-Benz dalam tempoh lebih 125 tahun sejarah automotif. Muzium ini pernah memenangi Hadiah Hugo Häring pada 2009 sebagai bangunan contoh di negeri itu.

Muzium pertama Mercedes-Benz kali pertama dibuka kepada orang awam pada 1936 sebagai meraikan sambutan ulangtahun kelahiran mobil itu yang Ke-50.  Pada 1986 bagi meraikan sambutan jubli 100 Tahun Automobil, muzium berkenaan sekali lagi dibuka selepas kali terakhir pada 1961. Sehingga 2006, sekitar 13 juta pelawat melawat muzium berkenaan yang ketika itu terletak di kilang Mercedes-Benz. Namun, 19 Januari 2006 juga menandakan era baharu, apabila Muzium Mercedes-Benz  yang sekarang dibuka secara rasmi di Unterturkheim, tapak asal kilang kereta itu, Stuttgart.

Muzium ini menempatkan susur galur dan model kereta, dari saat ‘kelahiran’ Mercedes-Benz yang pertama hingga ke rekacipta yang terkini dan termoden. Muzium ini mempunyai sembilan aras dengan keluasan 16.500 meter persegi, mempamerkan sebanyak 160 kenderaan dan lebih 1,500 pameran kereta Mercedes-Benz pelbagai model dan era.

Tarikh 29 Januari 1886, merupakan detik paling bersejarah iaitu kelahiran automobil – hari yang menyaksikan buat pertama kali Carl Benz menerima paten untuk kereta yang pertama di dunia. Justeru sambutan ulangtahun Ke-125 kali ini amat signifikan dalam mengiktiraf  rekacipta yang paling unggul pernah dihasilkan pada abad ini.

Tidak ada jenama automotif yang paling berjaya dan mampu bertahan dalam jangka masa yang terlalu lama seperti Mercedes-Benz.

Pada 14 Oktober lalu, saya berpeluang berkunjung ke Stuttgart, ibu negeri Baden-Württemberg yang terletak di selatan Jerman. Untuk pengetahuan pembaca, Stuttgart merupakan kampung halaman Mercedes-Benz, yang menempatkan Muzium Mercedes-Benz, satu-satunya muzium di dunia yang mempamerkan rekacipta dan inovasi Mercedes-Benz dalam tempoh 125 tahun sejarah automotif. Muzium ini pernah memenangi Hadiah Hugo Häring pada 2009 sebagai bangunan contoh di negeri itu.

Bagaimanakah Mercedes mendapat nama?

Apabila Gottlieb Daimler dan Carl Benz pertama kali melancarkan syarikat mereka – Daimler-Motoren-Gesellschaft (DMG) dan Benz & Cie, mereka menggunakan nama keluarga masing-masing untuk menjamin kualiti produk tersebut. Semasa Carl Benz berusaha mengukuhkan strategi dalam syarikatnya, muncul sebuah nama, Emil Jellinek, salah seorang pelanggan setia DMG kelahiran Austria yang juga peminat besar dalam acara lumba kereta.

Menjelang 1899, Jellinek yang tinggal di Vienna dan Nice, mulai menceburkan diri dalam acara lumba kereta. Setiap kali berlumba, beliau gemar menamakan kereta yang dibeli dari DMG dengan ‘Mercedes’ iaitu nama anak perempuan kesayangannya yang berusia 10 tahun.

Nama Mercedes menjadi satu jenama paling laris menjelang penghujung 1900 apabila Jellinek, yang memandu model hp35 yang tertera nama Mercedes, muncul juara dalam lumba kereta. Kemenangan itu telah melonjakkan nama Mercedes di seluruh dunia, sebagai nama yang begitu sinonim dengan kejayaan dan lumba kereta yang berprestij tinggi. Sehingga ke hari ini, Mercedes terus menjadi jenama yang paling terkenal di dunia.

Lambang bintang tiga bucu yang terdapat pada logo Mercedes-Benz pula mewakili tiga visi universal kenderaan iaitu ‘di atas tanah, air dan udara’. Ia dicipta oleh kedua-dua anak lelaki Daimler, Paul dan Adolf Daimler sebagai memperingati Daimler yang meninggal dunia pada Mac 1900.

Sebelum ini, dua logo didaftarkan sebagai trademark, iaitu bintang tiga bucu dan bintang empat, namun mulai 1910 hanya bintang tiga digunakan yang diletakkan dibahagian atas radiator hadapan kereta. Pada 1916, bintang tiga itu ditambah bulatan dan ia dipatenkan secara rasmi pada 1923.Sehingga kini, logo tersebut telah mengalami banyak perubahan namun bintang tiga bucu tetap dikekalkan.

Selama dua jam melihat pameran, pelawat dapat mengalami pengalaman yang unik mengenai sejarah automotif berkenaan. Malah perincian dalaman Muzium Mercedes-Benz sendiri mempunyai keunikan tersendiri kerana direka berdasarkan bentuk struktur helix berkembar yang menyerupai lingkaran DNA yang membawa genom manusia.

Sesi kembara Muzium Mercedes-Benz ini bermula di aras yang kesembilan dan menurun ke tingkat bawah. Pelawat menggunakan lift yang dihias mewah untuk ke aras sembilan. Jangan terkejut, seekor kuda putih menyambut ketibaan pelawat di pintu masuk utama, sebagai simbolik pengangkutan utama manusia pada masa itu sebelum kewujudan kereta.

Memasuki ruang pameran aras sembilan, pelawat berpeluang mengetahui sejarah awal Mercedes-Benz sejak 1886. Bahagian pertama lawatan meliputi tujuh ruangan pameran legenda yang memaparkan kronologi sejarah Mercedes-benz.

Ia terbahagi kepada Legenda 1 (Perintis- Rekacipta Automobil 1886 – 1990), Legenda 2 (Mercedes – Kelahiran Jenama 1990 – 1914), Legenda 3 (Era Perubahan – Diesel dan Supercharger 1914 – 1945), Legenda 4 (Keajaiban Selepas Perang – Bentuk dan Diversiti 1945 – 1960), Legenda 5 (Wawasan – Keselamatan dan Alam Sekitar 1960 – 1982), Legenda 6 (Permulaan Baharu – Ke arah Mobiliti Bebas Pelepasan) dan Legenda 7 (Silver Arrows – Perlumbaan dan Rekod). Setiap ruangan pameran legenda ini menampilkan model kereta yang wujud pada masa tersebut. Di aras bawah, pelawat berpeluang melihat hasil penyelidikan dan pembangunan (HRD) terkini yang dibawakan oleh Mercedes-Benz.

Tidak dilupakan lima ruangan pameran yang menampilkan koleksi kereta dari semua era antaranya Gullwing 1950an atau Silver Arrows dan Mercedes-Benz 230 SL. Selain itu muzium ini terbahagi kepada lima koleksi galeri iaitu Gallery of Voyagers (digunakan untuk mengembara dan beriadah), Gallery of Carriers (kenderaan mengangkut barangan), Gallery of Helpers, Gallery of Celebrities (kenderaan orang ternama) dan Gallery of Heroes.

Gallery of Celebrities (dari kiri) kereta milik Mendiang Lady Diana dan model Popemobile yang digunakan oleh Pope John Paul semasa melawat Jerman

Namun yang paling menarik perhatian ialah Gallery of Celebrities yang mempamerkan koleksi kereta mewah milik celeberiti dan orang kenamaan di dunia. Antaranya 1991 Mercedes-Benz 500 SL yang pernah dimiliki oleh mendiang Princess of Wales, Lady Diana pada 1992. Lady Diana merupakan kerabat Di Raja yang pertama memandu kereta keluaran luar negara. Sebelum ini keluarga Di Raja British sejak berdekad yang lalu hanya memandu kereta yang dihasilkan dalam negara. Tindakan Lady Diana membeli kenderaan ini telah mendapat kritikan daripada kerajaan, kesatuan perniagaan dan wakil industri mobil di Britain. Akhirnya pada September 1992, mendiang memulangkan kereta itu kepada Mercedes- Benz.

Bersebelahan dengan kereta Lady D ialah model kenderaan rasmi yang digunakan Pope John Paul II semasa melawat Jerman buat kali pertama pada 1980. Kenderaan yang dinamakan 1980 Mercedes-Benz 230 G popemobile ini menggunakan sejenis kaca untuk melindungi pope daripada angin dan hujan selain memudahkan orang ramai melihat beliau. Kenderaan ini kemudian dilengkapi dengan cermin kalis peluru selepas insiden cubaan membunuh Pope John Paul pada 1981.

Turut dipamerkan ialah model 1997 Mercedes-Benz ML320, kenderaan yang digunakan oleh Steven Spielberg dalam filem box-office ‘Lost World’, 1984 Mercedes–Benz 190 E 2.3 AMG model yang pernah dimiliki oleh ahli kumpulan The Beatles, 1988 Mercedes-Benz 500 SL yang digunakan Richard Gere dalam American Gigolo (1980) dan Eddie Murphy Beverly Hills Cop (1984).

Ketua Mercedes–Benz Classic, Michael Bock berkata, Mercedes-Benz Museum merupakan tempat yang terbaik dan unik di dunia untuk menjejaki sejarah automobil dan legenda jenama Mercedez-Benz dalam cara yang menarik, dari sejarah permulaan hingga ke hari ini.

“Pencapaian Daimler dan Benz menyentuh segenap kehidupan manusia khususnya dalam permotoran. Segala maklumat dan sejarah perjalanan Mercedes-Benz sepanjang 125 tahun dihimpunkan di sini untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

 

 

 

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *