Lone Ranger di Paris

 

 

Caption: Gambar 1 – Pemandangan Sungai Seine, Gambar 2 Penulis di Eiffel Tower dan Gambar 3 Pemandangan Sungai Seine dari bilik hotel.

 

Nota: Artikel ini ditulis pada 2011. Saya akan berangkat ke Paris lagi pada 29 Nov 2017 ini, justeru saya tak perlu kongsi banyak gambar di sini ya.

 

Menyusuri River Seine dalam musim luruh di bulan Oktober, sambil menghirup udara segar lagi dingin, tidak sukar untuk membuatkan hati saya terpaut dengan Paris.

Sebenarnya, Paris adalah pilihan kedua dalam senarai kembara benua Eropah. Saya memilih Austria namun pada saat akhir negara itu digugurkan dari senarai kerana bimbang tidak mempunyai masa yang cukup.

Setiap orang melakukan sekurang-kurangnya satu perkara gila dalam hidup. Saya memilih Paris pada saat-saat akhir, semacam ada perasaan menyesal bercampur baur dengan perasaan ‘wow’.

Selepas lebih setahun mengkaji dan membuat keputusan negara mana, saya memutuskan untuk melihat Paris, tiga bulan sebelum berlepas ke Eropah, itupun selepas mengambil kira nasihat seorang teman.

Hati saya kuat bertanya, mengapa mesti ke Paris jika ke Eropah?

Pengajaran pertama: buat keputusan lebih awal dan tetapkan pendirian ke mana negara yang mahu dilawat.

Dalam keraguan bercampur teruja, saya menempah tiket kereta api dari Stuttgart ke Paris serta penginapan tiga malam.

Hendak dikatakan terlalu gembira, tidak juga sebaliknya saya lebih gelisah dan tidak menentu. Beberapa malam sebelum itu, saya tidak dapat melelapkan mata, kerana perjalanan ke Paris ini adalah yang pertama, tambahan pula saya pergi sendirian.

Namun suara hati berteriak, ”Sudan, pergilah..jangan takut. Kamu boleh lakukan, tawanilah Paris!”. Namun suara hati saya yang ketiga, ”Sudan, betulkah berani? Ini Paris lah, bukan Long Lama. Bayangkan kamu sesat!

 

Seribu satu macam berlegar di fikiran saya. Dengan perasaan berkecamuk, berdebar dan sedikit perasaan gembira kerana akan melihat Paris, saya ucapkan selamat tinggal kepada rakan baik saya, Nina yang sudi menghantar saya ke stesen kereta api dalam pagi sejuk yang mencucuk tulang-temulang.

Saya cuba menyumbat semua info dan nasihat Nina dalam tempurung kepala, agar tidak sesat atau tersalah kereta api. Terima kasih Nina, saya terhutang budi, dan jasamu akan dikenang sampai bila-bila.

Saya membawa passport, tiket pergi dan balik kereta api, sedikit wang Euro, komputer riba dan dua kamera.

Saya bertolak dari stesen kereta api Stuttgart Hbf, Jerman seawal jam 6.30 pagi, menggunakan kereta api TGV (Train A Grande Vitesse) yang hanya mengambil masa perjalanan kira-kira 4 jam setengah. TGV merupakan sistem kereta api terpantas yang menghubungkan bandar-bandar di Perancis dengan negara Eropah di kejiranan.

Suasana pagi yang berkabus, tidak banyak pemandangan yang dapat saya saksikan. Sudah 15 minit kereta api bergerak di landasan, saya masih berfikir, betulkah tindakan ke Paris, mengapa saya harus ke Paris?

Apa pun yang bakal berlaku, saya akan hadapi dengan tabah, bisik hati saya sambil menenangkan fikiran. Walaupun pagi masih awal, namun saya tidak berhasrat menyambung tidur. Duduk di bangku bersebelah, terdapat pasangan tidur sambil berdengkur. Oh, lebih baik saya tidak tidur takut berdengkur atau tiba-tiba mengigau. Kereta api tersebut sebenarnya mempunyai kemudahan membeli makanan dan internet berbayar, namun saya malas untuk bergerak ke hadapan.

Hampir sejam perjalanan, kami berhenti di salah sebuah stesen kereta api yang namanya saya sudah lupa. Hari sudah semakin terang, saya dapat melihat dunia di luar tingkap yang begitu asing. Rumah-rumah yang berbumbung tinggi dan dibina rapat-rapat, saya lihat asap keluar daripada corong bersatu dengan kabus pagi yang dingin. Matahari yang mulai tinggi, menampakkan daun-daun yang sudah bertukar kekuningan. Pemandangan di luar silih berganti bagai babak drama di panggung wayang. Saya melintasi ladang bunga matahari. Kemudian padang rumput kering atau hayfield, saujana mata memandang. Alangkah baiknya kalau saya dapat menyuruh kereta api tersebut berhenti untuk mengambil gambar seketika sambil melakukan pelbagai gaya bebas? Saya mendapat ilham untuk melakukan road trip, sekurangnya-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

Saya selamat tiba di Paris Gare du Nord atau Paris Nord Train Station kira-kira jam 10.45 pagi. Pada 4 Oktober 2011, saya dengan rasminya menjejak kaki di Paris. Air mata saya bergenang. Ada dua sebab, saya terharu kerana akhirnya sampai juga di Paris, kedua saya sedih kerana tiada sesiapa yang menjemput saya.

Saya terpegun dengan keunikan bangunan Paris Gare du Nord, yang menampilkan ciri-ciri stail lama bangunan stesen kereta api Perancis.

Saya berjalan bersama-sama lautan manusia dengan selamba, sambil menyorong beg yang agak berat. Lenguh lengan saya menarik, hampir-hampir saya marah dan menyepak beg tersebut. Menyesal, sepatutnya saya menggunakan beg sandang untuk memudahkan pergerakan.

Pengajaran kedua: Jangan membawa terlalu banyak barangan jika perjalanan singkat dan pergi ke banyak negara. Bawa barangan yang benar-benar diperlukan, kecuali anda mahu merangkak jika keletihan.

Hampir 10 minit saya mundar mandir di dalam bangunan itu, sambil mendengar pengumuman dalam bahasa Perancis. Satu patah bahasa pun saya tidak faham. Saya hanya tahu perkataan Bonjour, Merci dan Oui.

Otak saya tiba-tiba berhenti seketika berfikir, saya stuck. Saya benci perasaan panik. Saya menyesal kerana tidak mengambil subjek bahasa Perancis semasa di universiti, sebaliknya saya memilih bahasa isyarat.

Pengajaran ketiga: Bawa buku frasa kata bahasa Perancis kecil yang boleh disimpan di dalam poket untuk memudahkan perjalanan.

Saya mentertawakan diri saya sendiri. Padan muka. Saya teringat kisah lucu dalam filem Mr. Bean’s Holiday. Teringat nasib malang yang menimpa Mr. Bean kerana tertinggal kereta api, kehilangan beg duit dan tersalah pesan makanan di restoran gara-gara tidak boleh berbahasa Perancis.

Oh, tidak dapat saya bayangkan jika percutian ke Paris jika terpaksa mengemis dan menari di jalanan seperti yang terjadi kepada Mr. Bean,

Saya kemudian mencari Tourist Welcome Center di sebelah hujung kanan stesen berkenaan.

Dengan peluh dingin membasahi dahi sambil mengucapkan ’Bonjour’ (dalam nada yang agak pelik) saya hulurkan nama hotel yang saya tempah kepada seorang kakitangan wanita.

Lega apabila wanita di kaunter tersebut melayan dengan baik, malah dia memberi salinan peta lokasi hotel, kereta api yang digunakan dan peta Paris. Dia menerangkan saya satu persatu untuk sampai ke hotel. Saya mula berasa okay dan sedia untuk berdepan dengan babak pengembaraan saya yang seterusnya.

Saya keluar daripada bangunan itu dan terus mencari stesen kereta api Metro. Saya ini pemalu sebenarnya, namun kerjaya sebagai wartawan banyak membantu saya bagaimana memberanikan diri untuk bertanyakan arah dengan orang asing.

Saya melihat ke kiri ke kanan, mencari Parisian untuk bertanya. Kebetulan ada seorang lelaki sebaya bapa saya berdiri tidak jauh, saya langsung bertanya dalam bahasa Inggeris, namun dia menjawab dalam bahasa Perancis.

Namun, saya tidak putus asa. Saya terus bertanya, dan pakcik itu dalam bahasanya sendiri menunjuk ke satu arah. Paris Metro Stesen terletak di seberang jalan, menggunakan terowong bawah tanah.

Mujurlah saya ada pengalaman sedikit menggunakan kereta api semasa di Stuttgart tempoh hari. Terdapat 300 Paris Metro meliputi 16 laluan dan setiap laluan ini bernombor.

Tidak sukar menggunakan mesin tiket tersebut, hanya tukar bahasa dan kemudian pilih destinasi dan masukkan duit syiling € (Euro) yang secukupnya. Saya bertanya dengan orang yang lalu lalang untuk menukar bahasa Perancis ke bahasa Inggeris.

Keadaan agak sesak. Saya perhatikan, pintu kereta api di sini dibuka sebelum kereta api betul-betul berhenti di stesen.

Pengajaran keempat: Jangan berdiri berdekatan dengan pintu kereta api, melainkan anda mahu mencium atau menjilat pintu tersebut.

Terpijak najis anjing

Perjalanan menggunakkan kereta api yang pertama di Paris, saya gagal. Saya turun satu stesen lebih awal. Terpaksalah saya berjalan kaki.

Sedang asyik melihat bangunan lama di sepanjang River Seine, tiba-tiba saya terasa terpijak sesuatu yang melekit. Saya memandang ke bawah kasut, rupa-rupanya saya terpijak najis anjing. Celaka! Oh ya, najis anjing ada di mana-mana. Untuk beberapa minit perjalanan, saya hanya memandang ke bawah, bimbang terpijak najis anjing. Saya memaki hamun sendiri, ini bukan sesuatu yang saya sangkakan, apa lagi di Paris!

Pengajaran kelima: Berhati-hati berjalan kerana najis anjing mungkin ada di merata-rata tempat.

Fakta menarik: Terdapat kira-kira 300,000 anjing di Paris, melebihi jumlah kanak-kanak di situ.

Saya menempah Hotel Du Quay Voltaire, sebuah hotel lama di lokasi bersejarah di tebing Sungai Seine. Sesuai dengan kawasan hotel bersejarah, hotel yang dibina sekitar pada tahun 1600 dikelilingi oleh bangunan lama dan galeri antik bersejarah. Very Parisian. Saya tinggal di hotel ini selama tiga malam empat hari.

Saya bertuah kerana pihak hotel memberikan bilik di tingkat 6 dengan pemandangan menghadap Seine River, Pont des Arts, Le Pont Royal dan banyak lagi. Begitu indah sehingga saya terlupa yang saya bersendirian di kota Paris!

Hotel ini terletak betul-betul di hadapan jalan utama. Mujurlah sebelum ini saya menempah bilik ditingkat atas (perlu diberitahu lebih awal kepada pihak hotel jika tidak mahu mendengar bunyi bising dari arah jalan raya).

Ada perkara lucu yang saya tidak dapat lupakan pertama kali di hotel ini. Sambil menyorong beg, saya menekan butang lif sambil menunggu. Namun, beberapa minit pintu lif masih tidak terbuka. Rupa-rupanya, ada dua pintu. Pintu pertama perlu ditarik, kemudian barulah pintu kedua terbuka. Hotel ini betul-betul antik. Saya masuk ke dalam lif yang sangat kecil pernah saya nampak, sambil tersenyum sendiri.

Saya menyukai bilik hotel ini, katil besar dan bantal empuk. Buka tingkap, angin segar yang dingin dari arah River Seine menerpa masuk. Saya yang kebuluran kerana tidak sempat bersarapan di Stuttgart terus keluar dari bilik hotel.

Saya tidak tahu apa yang mahu dimakan, lantas saya pergi ke satu lorong bersebelahan hotel. Selepas melintasi beberapa kafe dan membaca menu harian di papan hitam yang ditulis menggunakan kapur, saya akhirnya memilih.

Di sebelah kiri, sudah ada beberapa pelanggan menikmati makanan. Saya sempat memandang pinggan mereka, sekadar mencari inspirasi apa yang mahu dimakan. Akhirnya saya memesan steak dan air kosong yang dihidang bersama roti. Saya membayar dengan €13, hendak mencari makanan murah saya tidak lagi terdaya sebab terlalu lapar.

Pengajaran keenam: Lazimnya setiap hidangan didatangkan dengan roti yang secara tidak langsung akan menambah bayaran bil. Beritahu pelayan dengan mesra, anda tidak mahu roti dan jangan lupa tinggalkan tip, memadai €1.

Lokasi pertama sudah tentu tebingan Seine River yang sememangnya tidak putus-putus dengan manusia. Seronok menyaksikan manusia dalam pelbagai ragam, betul-betul membuka fikiran. Saya berkeliaran di jambatan yang merentangi River Seine  sambil merakamkan pemandangan indah. Dalam hati, saya berbisik alangkah seronoknya jika ada pasangan di sisi. Kota Paris memang kota romantis, tidak dapat disangkalkan lagi.

Petang itu, saya mengikuti river cruise Vedettes du Pond-Neuf, menyesusuri River Seine sambil menyaksikan kota Paris. River cruise selama sejam ini dengan bayaran €13 ini begitu menyeronokkan kerana anda dapat mengenali kota Paris dengan lebih dekat sambil menikmati udara segar di atas bot pelayaran.

Semasa berlayar, saya begitu tertarik dengan keindahan seni bina bangunan yang terletak di sepanjang Seine River termasuk jambatan yang begitu unik dan mempunyai ciri-ciri tersendiri. Menurut pemandu pelancong kami petang itu, terdapat 37 jambatan merentasi Seine River dengan jambatan yang tertua berusia 430 tahun manakala yang terbaru dibina sekitar tahun 1990.

Salah satu jambatan itu ialah Pont Des Arts, yang menghubungkan The Louvre ke Institut De France yang digunakan untuk pengambaran siri Sex and the City. Satu lagi ialah Jambatan Romantik yang mana setiap pasangan yang melintasi bawah jambatan itu perlu mencium pasangan masing-masing. Dalam tempoh lebih sejam itu, saya melihat Notre Dame, Tour Eiffel, Musee d’Orsay, Champ, Conciergerie dan banyak lagi, yang memukau hati dan perasaan saya.

Selepas tamat river cruise, saya terus berjalan menyaksikan pemandangan di sepanjang Jambatan Pont Des Arts. Saya lihat begitu banyak buah mangga dikunci di pagar dawai di sepanjang jambatan. Difahamkan, pasangan menulis nama dan kekasih di atas mangga tersebut kemudian dikuncikan di dawai besi, kemudian kunci tadi dilemparkan ke dalam River Seine sebagai tanda pengabadian cinta.

Saya juga menghabiskan setengah hari di Boulevard Haussmann, keluar masuk keluar masuk, turun naik Galeries Lafayette sudah cukup membuat kepala saya pening dan binggung. Terlalu banyak barang, orang dan bermacam-macam lagi.  Saya sempat meninjau butik Hermes dan  beberapa butik Haute Couture, sekadar menjamu mata.

Sekali lagi saya terserempak dengan seorang wanita tua yang berjalan terbongkok-bongkok menggunakan tongkat, sambil menghulurkan cawan meminta duit. Saya menggelakkan diri dan terus berjalan ke hadapan. Namun saya terkejut apabila ternampak wanita itu berada di lorong yang lain, begitu cepat dalam keadaan bertongkat, mengalahkan saya. Saya juga ternampak hampir semua lorong, terdapat pengemis menggunakan pelbagai taktik, termasuk membawa anjing peliharaan, wanita duduk sambil mengendong bayi.

Namun pengalaman yang saya tidak akan lupakan ialah semasa sesat hampir dua jam dalam cuaca sejuk dan kelaparan. Semuanya gara-gara saya tidak mahu menggunakan bas, sebaliknya berjalan kaki untuk pulang ke hotel. Suhu yang tiba-tiba turun mendadak menyebabkan saya yang hanya menggunakan jaket nipis menggeletar kesejukkan. Saya memeluk beg kamera erat-erat untuk memanaskan badan namun kesejukan kian mencengkam.

Saya memang tidak tahan dengan suhu sejuk, mungkin itu sebabnya saya ditakdirkan lahir di negara beriklim Khatulistiwa. Dek kerana tidak tahan, saya masuk ke dalam kedai-kedai menjual pakaian, beg dan kasut yang terdapat di situ, sambil berpura-pura mencari barang untuk dibeli. Sebenarnya, saya hanya menumpang mahu memanaskan badan.

Saya juga nekad tidak makan sepanjang hari selepas gagal menemui nasi. Nasib tidak menyebelahi kerana beberapa restoran Asia yang saya jumpa dalam kesesatan, ditutup. Saya tidak lalu makan roti. Akhirnya, saya terpaksa akur makan stik kerana perut sudah tidak dapat berkrompromi lagi. Selesai makan, saya meneruskan perjalanan dan terjumpa gerai menjual nasi dan ayam masak kari. Terkilan, kerana tidak bertemu dengan gerai tersebut terlebih dahulu. Seumur hidup saya, itulah kali pertama saya terlalu gembira melihat nasi. Tanpa saya sedari saya sudah berdiri di hadapan gerai dan membeli nasi bungkus tersebut, 3 Euro. Tidak apa, selagi memakan nasi membuat saya gembira. Hidup saya seakan tidak lengkap tanpa nasi, walaupun hanya tiga hari.

Pengajaran ke-10: Belajar menyesuaikan diri dengan keadaan. Satu cara untuk mengenali suatu tempat itu ialah dengan menikmati makanan mereka.

Saya akhirnya menemui jalan pulang ke hotel. Sepanjang jalan menyusuri salah sebuah jambatan merentasi River Siene, saya berfikir, alangkah bagusnya jika kunjungan saya ke Paris lebih lama, bukannya dua hari, selepas ditolak dengan masa untuk datang dan pulang ke Jerman.

Waktu malam saya mengurung diri di hotel kerana tidak berani keluar bimbangkan keselamatan. Inilah kelemahan kalau mengembara secara solo, terutama di kota besar seperti Paris. Tidak berani mengambil risiko keluar bersendirian pada waktu malam.

Lebih senang berkomunikasi dengan Parisian sekiranya saya menguasai bahasa mereka. Saya teringat peristiwa hari pertama semasa memegang sekeping lukisan Bouquinistes de Paris, di Quay Voltaire, apabila secara tidak sengaja lukisan tersebut jatuh ke lantai. Saya memohon maaf, namun pemilik gerai tersebut iaitu seorang wanita terus mengeluarkan kata-kata yang saya tidak fahami, namun saya tahu dia marah. Saya akan belajar bahasa Perancis dan jika ke Paris sudah pasti saya akan ke gerai itu semula untuk mengenakan dia.

Paris memang hebat. Banyak tarikan, setiap sudut begitu bernilai untuk dirakamkan dalam lensa kamera. Namun Paris bukan Perancis dan Perancis bukan Paris. Maksud saya, tidak memadai mengenali Perancis hanya pergi ke Paris. Banyak lagi tempat menarik di Perancis yang menarik untuk dilawati. Setiap tempat ada keunikan dan kehebatan tersendiri.

Saya sepatutnya berada di Paris sekurang-kurangnya seminggu. Ya, semua orang melakukan kesilapan, dan saya menerima kesilapan itu sebagai learning curve. Sekurang-kurangnya saya sudah mencuba.

Kembara ke Paris juga membuka mata saya mengenai serba-serbi orang Eropah. Saya kecewa kerana tidak banyak tempat yang saya sempat pergi semasa di Paris. Saya mahu mendalami masyarakat dan misteri benua Eropah seperti Perancis, dan Paris adalah eksperimen saya yang pertama.

Antara fakta menarik mengenai Paris:

  • Mengikut undang-undang, tiada bangunan boleh melepasi ketinggian enam tingkat di Paris. Alasanya, Pour que tout le monde ait du soleil atau supaya semua bangunan menerima cahaya sinaran matahari.
  • Paris digelar City of Lights, namun ia tiada kaitan dengan lampu yang menerangi Eiffel Tour atau jalanan di Paris. City of Lights dalam konteks ini merujuk kepada Paris sebagai tumpuan penulis, artis dan akademik yang datang ke sana mencari ilham.
  • Populasi Paris dianggarkan seramai 2,228,563

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *