Eiffel Tower

 

Caption gambar: Polis bertanyakan sesuatu dengan peminta sedekah.

 

Hari ketiga di Paris iatu hari terakhir, awal pagi saya keluar dari hotel menuju ke Eiffel Tour. Saya membuat keputusan untuk berjalan kaki, kerana berpendapat ikon Paris tersebut dekat, memandangkan dapat dilihat dari hadapan hotel. Hakikatnya, ia agak jauh namun saya berpendapat, lebih baik berjalan kaki sambil menikmati pemandangan di sepanjang River Seine.

Sedang asyik berjalan, saya ternampak seorang gadis ala-ala Gypsi, bertudung, tiba-tiba tunduk mengutip sesuatu di hadapan saya. Saya memerhatikannya dan tiba-tiba dia datang ke arah saya menunjukkan sebuah cincin berwarna keemasan. Dia menawarkan ‘cincin emas’ tersebut kepada saya dengan syarat memberi duit untuk membeli minuman. Mujurlah saya sedar ia adalah salah satu taktik untuk menipu pelancong. Saya terus berlalu dan berjalan lebih laju kerana bimbang diekori.

Pengajaran kelapan: Jangan berhenti atau bercakap dengan orang yang tidak dikenali atau mencurigakan. Waspada, kerana pada masa begini anda boleh menjadi mangsa penyeluk saku atau dirompak dalam sekelip mata.

Selepas hampir 30 minit berjalan, saya akhirnya sampai di perkarangan Eiffel Tower. Dalam mood yang bagus, sekali lagi saya naik angin apabila bahu saya ditepuk dari belakang. Rupa-rupanya saya diekori oleh sekumpulan gadis Romania/Bosnia yang meminta duit derma. Seorang gadis menghulurkan buku untuk mengutip duit.

Saya menggelengkan kepala dan beredar. Namun mereka berdegil dan terus mengekori saya, seolah-olah mahu menarik tangan saya dan memaksa menyerahkan wang. Mungkin kerana melihat saya bersendirian, mereka mahu menjadikan saya sebagai sasaran. Saya kemudian berpura-pura menyertai sekumpulan pelancong yang kebetulan berada di situ sambil membuka peta, untuk menyelamatkan diri sendiri.

Padan muka, tidak lama selepas itu saya lihat dua orang polis peronda menggunakan basikal menahan gadis-gadis tersebut sebelum merampas dan mengoyakkan buku di depan mereka.

Selamat daripada peminta sedekah, sekali lagi saya didekati oleh warga Algeria yang menjual cenderamata murahan seperti replika Eiffel Tour, gelang tangan dan pemegang kunci. Jika saya mahu membeli, saya akan membeli, tetapi pada masa begini, tinggalkan saya sendiri dan jangan menggangu! Betul-betul menyampah dan menjengkelkan. Saya datang ke Paris bukan untuk diganggu atau melayan penjual jalanan.

Lapar, haus dan keletihan selepas melarikan diri dari gadis Gypsie, peminta sedekah dan penjual cenderamata jalanan, saya kemudian ke sebuah kiosk yang menjual minuman dan makanan, berhampiran Eiffel Tower. Pagi itu saya bersarapan kopi panas dan cup cake coklat dan lepak di bangku yang disediakan menghadap Eiffel Tower. Saya sempat berkenalan dengan satu keluarga dari Singapura, dan kami tolong-menolong mengambil gambar berlatarbelakangkan Eiffel Tower.

Namun cuaca yang tidak mengizinkan, tiba-tiba angin kuat diikuti hujan menyebabkan saya kemudian terpaksa beredar meninggalkan kawasan tersebut. Hampir 30 minit, saya bersama pelancong yang lain terpaksa berteduh dibawah pondok sementara menunggu hujan reda. Saya menyesal kerana tidak membawa payung atau baju hujan. Pada masa itu, saya ternampak beberapa pelancong membeli payung dengan warga asing.

Pengajaran kesembilan : Bawa payung atau baju hujan dalam beg. Lokasinya yang berhampiran Laut Atlantik menyebakan cuaca di Paris tidak menentu.

Fakta menarik mengenai Eiffel Tower

  • Merupakan ilham seorang jurutera Perancis bernama Alexandre Gustave Eiffel, yg mencadangkan pembinaan sebuah menara setinggi 324m(986 kaki) sebagai pusat kepada Champ De Mars. Champ De Mars adalah sebuah kawasan lapang berkonsep hijau.
  • Ikon Paris dibina pada 1887 dan siap dalam dua tahun membabitkan 300 pekerja yang memasang sebanyak 18,038 kerangka besi.
  • Dibina untuk tempoh 20 tahun, namun kini usianya sudah mencecah lebih 126 tahun.
  • Dibuka pada Mei 1889 sempena pameran dunia bagi memperingati ulangtahun Revolusi Perancis Ke-100.
  • Menarik lebih 7.1 juta pelancong
  • Pernah mahu dirobohkan pada 1909 kerana reka bentuk yang dianggap hodoh dan menyakitkan mata, namun ia diselamatkan kerana ia mempunyai antena yang digunakan untuk komunikasi.
  • Kini dianggarkan bernilai lebih £344billion.
  • Bentuknya dibuat berdasarkan pengiraan matematikal yang melibatkan pengiraan rintangan angin.

 

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *