Menghayati keagungan Roman – Rome

 

 

 

 

 

Selepas dua hari berehat di Asperg, saya meneruskan kembara ke Rome, Itali. Teruja. Pertama, sepanjang hayat saya mengimpikan untuk melihat Rome dan Vatican City. Kedua, kali ini saya tidak lagi mengembara solo, lebih yakin dan seronok kerana ada teman.

Lantaran keletihan dan tidak berhenti merayau-rayau di Stuttgart selepas pulang dari Paris, saya tidak sempat packing barang untuk ke Rome. Saya menyimpan barang dalam beg tidak sampai 10 minit. Kesudahannya, saya sumbat semua barangan dari beg bagasi ke dalam hand luggage. Saya terlupa di mana beg duit, passport dan dokumen lain. Terpaksa buka beg semula, rupa-rupanya di bawah timbunan pakaian bahagian paling bawah. Betul-betul menyusahkan. Saya paling tidak suka packing saat-saat akhir. Oleh kerana barangan tidak tersusun, beg yang sepatutnya muat jadi tidak muat dan hampir terkoyak.

Saya terbang ke Rome menggunakan penerbangan GermanWings. Penerbangan menyeronokkan apalagi bila melintasi Swiss Alps dan melihat Lautan Mediterranean. Kami mendarat di Rome International Airport – Fiumicino, kira-kira jam 3.52 petang, selepas sejam setengah penerbangan dari Stuttgart.

Dari sana, kami bertiga bersama sepasang pelancong dari Amerika Syarikat menaiki van, yang saya rasa lebih murah berbanding menggunakan khidmat teksi. First impression saya, orang Itali mesra, peramah dan murah senyuman.

Pemandu van tersebut, bertanya dari mana kami datang dan tujuan  kami datang ke Rome. Mulutnya begitu petah bercakap sambil menasihatkan dan memberi cadangan tempat-tempat yang harus dilihat semasa di Rome.

Antara tips yang beliau kongsikan ialah:

  • Jangan menukar wang di lapangan terbang kerana kadar bunga yang mencekik darah.
  • Harga secawan kopi di Rome ialah €4 ke bawah, jika pemilik kedai mengenakan harga yang lebih tinggi, hubungi polis.
  • Waspada dengan penyeluk saku terutama semasa berada di dalam kereta api.

Menurut beliau, terdapat pemilik kedai kopi sesuka hati menaikkan harga minuman kopi, bukan sahaja di kalangan pelancong, malah penduduk tempatan yang lahir di Rome turut menjadi mangsa cekik darah.

Kami menginap di Hotel Taormina, hotel bertaraf dua bintang di Principe Eugenio. Saya suka dengan hotel ini kerana selain murah, selesa dan lokasi yang strategik, bangunan hotel terletak betul-betul bersebelahan dengan G.Fassi Gelato. Terima kasih dan tahniah kepada rakan saya Nina, kerana memilih hotel yang benar-benar membuat saya bahagia. Setiap malam, kami menikmati gelato sebelum pulang ke hotel. Selain itu, hotel ini berhampiran dengan sebuah restoran Cina dan pasar raya yang menjual pelbagai makanan Asia.

Ada pengalaman lucu semasa kami menikmati makan malam di restoran Cina tersebut. Kami memesan sayur campur namun yang datang tempura sayur-sayuran. Ia bukan masakan sayur campur yang biasa saya nikmati di Miri. Nama sama namun yang datang berlainan. Tidak mahu menggunakan chopstick, kami meminta sudu dan garfu. Namun hanya sudu yang dihantar. Apabila ditanya mana garfu, pelayan di situ seolah-olah tidak faham. Dia kembali ke dapur dan menghantar sudu, kali ini sudu sup.

Pening juga kepala apabila terpaksa menerangkan apa itu ‘garfu’ kepada pelayan yang bekerja di situ. Mereka tidak faham bahasa Inggeris. Garfu adalah ‘suami’ kepada sudu, kata saya sambil menunjukkan tiga telunjuk di hadapan pelayan tersebut. Oh, dia angguk faham.

Menghayati keagungan Roman

If any city’s legacy can speak for itself, it’s that of Rome. This is the city at the heart of history, from the Colosseum to St. Peter’s Basilica, from Julius Caesar to Pope Benedict.

Gelatos, langit biru dan deretan bangunan bersejarah, antara kehebatan yang saya tidak dapat lupa mengenai Rome. Berjalan di sini,  bagaikan membawa langkah saya kembali ke zaman keagungan Roman. Cukup menarik menelusuri ketamadunan Rome yang bermula lebih 730 B.C. Berdasarkan legenda Rome, kota yang terletak di tebingan Sungai Tiber ini bermula pada 21 April 753 B.C dan diperintah oleh kembar, Romulus dan Remus. Kini Rome merupakan ibu negara bagi Itali dengan jumlah kepadatan penduduknya seramai 2.5 Juta atau 3.5 juta bagi keseluruhan penduduk di bahagian Rome.

Peluang tiga hari melawat Rome meninggalkan kesan yang begitu mendalam bagi diri saya. Saya sifatkan lawatan ini lebih bersifat spiritual. Malah sehingga artikel ini ditulis, saya masih tidak percaya telah berada di sana. Peninggalan sejarah yang begitu hebat. Saya tidak pasti bila lagi kembali ke sana, namun saya cukup rindu dengan kota sejarah itu.

Colosseum

Colosseum, merupakan peninggalan sejarah yang dibina oleh Vespasian pada 72 A.D iaitu zaman Domitianus dan disiapkan oleh anaknya Titus pada 80 A.D.  Ia merupakan arena gladiator dan mempunyai tempat pertunjukkan besar berbentuk elips yang disebut amfiteater. Nama asalnya ialah Flavian Amphitheare dan merupakan salah satu Keajaiban Dunia. Colosseum merupakan salah satu karya agung kerajaan Romawi yang pernah didirikan dengan keupayaan menampung 50,000 penonton. Saya difahamkan, orang Romawi menggunakan pelbagai material untuk mendirikan Colosseum, antaranya yang dikenali sebagai travertine dari Tivoli, tufa atau batu letupan gunung berapi, marble dan batu bata.

Saya begitu teruja semasa menghampiri Colossuem, sehingga begitu asyik mengambil gambar. Namun berhati-hati, jangan mengambil gambar lelaki yang lengkap menggunakan pakaian gladiator (berwarna merah), jika anda tidak mahu membayar (€10 kalau tak silap).

Oleh kerana Colossuem sering  menjadi tumpuan pelancong dari merata dunia, maka bersedialah untuk berbaris panjang membeli tiket. Harga tiket masa itu €12. Semasa di sini, saya begitu taksub melihat kehebatan binaan zaman dulu, terutama arena Gladiator – tempat perlawanan binatang-binatang buas. Terbayang zaman kekejaman dan kekerasan pada masa itu, namun itulah hiburan yang penting bagi penduduk di Rom zaman tersebut. Menurut sejarah yang saya baca, di tengah-tengah arena itulah seekor singa buas dilepaskan untuk bertarung dengan orang buangan untuk tujuan ritual. Saya hanya mampu bayangkan betapa hebatnya pertarungan itu.

The Forum

Dari Colosseum, saya menyeberangi jalan menuju ke Roman Forum yang pernah menjadi pusat politik, keagamaan dan undang-undang di Roma. Saya sekali lagi terkesima, dengan kehebatan seni arkitek Romawi yang bagi saya tiada tandingan. Runtuhan puing-puing raksasa bangunan kerajaan antaranya The Regia, Arch of Septimius Severus, Curia dan Comitium. Namun saya tidak masuk ke dalam kerana tiket yang terlalu mahal, dalam €24 kalau tak silap saya. Sempat juga melihat peninggalan kuil tempat pemujaan dewa-dewi Romawi seperti Temple of Saturn, Temple of Vesta dan Temple of Castor dan Pollux. Kawasan runtuhan ini terlalu luas, sehingga saya tidak pasti dimana harus memulakan. Kesudahan, saya pening kepala.

Saya kemudian meneruskan perjalanan ke Capitoline Hill yang terletak di atas bukit bersebelahan Forum. Pada zaman dahulu, Capitoline Hill merupakan nadi utama kepada pentadbiran Empayar Roman. Antara tarikan utama ialah Capitoline Museums yang dibina pada abad Ke-17, yang mana lakaran seni binanya diilhamkan oleh Michelangelo. Kompleks muzium ini meliputi dua galeri yang terletak bersebelahan iaitu, Palazzo dei Conservatori dan Palazza Nuovo. Salah satu tarikan terkenal di dihadapan Palazzo dei Conservatori ialah, anda akan lihat patung ekuestrian terkenal, Marcus Aurelius dari 2 A.D.

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *