Gelato Raja Aiskrim

 

 

 

 

 

AIS krim Itali atau gelato mempunyai sejarah yang cukup panjang. Malah rahsia kelazatan gelato yang bermaksud ‘manisan dihidangkan beku’ ini masih menjadi misteri sehingga kini. Apa yang pasti, gelato yang dipercayai sudah wujud sejak abad Ke-16 ini amat sinonim dengan Itali. Lantaran itu jika berkunjung ke mana-mana tempat di Itali, tidak sah jika tidak menikmati gelato di gelateria atau kedai ais krim.

Semasa berkunjung ke Rome, saya berpeluang menikmati gelato di G.Fassi (Palazzo del Freddo), kilang pembuat gelato yang tertua dan terbesar di Itali. Menariknya mengenai gelateria lagenda ini, ia diasaskan oleh Giacomo Fassi pada 1880.

Galeteria ini berkembang pesat apabila anak lelaki beliau, Giovanni yang juga digelar ‘Raja Pembuat Ais Krim’ mengambil alih pada 1907. Tempoh 1907 hingga 1927 merupakan tempoh penting menyaksikan G.Fassi berkembang pesat. Perniagaan yang semakin maju itu kemudian diambil alih oleh anak perempuannya, Leonida pada 1961. Kini G.Fassi yang terletak di Via Principe Eugineo diuruskan oleh anak Leonida, Daneila dan cucunya Andrea, generasi kelima keluarga Giacomo.

Gelato di G.Fassi sungguh bellisimo (sedap), tidak terlalu manis dan pes berkrim yang begitu segar. Ais krim hebat mereka sering mendapat liputan media sejak bertahun-tahun yang lalu. Apakah rahsia pembuatan gelato ini?

Gelato biasanya berperisa dengan puri segar buah-buahan, koko, pes kacang dan vanila. Jika bahan lain seperti kepingan coklat, kacang, cookies dan biskut ditambah, ia ditambah selepas gelato dibekukan. Berbeza dengan ais krim yang biasa kita nikmati, gelato dibuat dengan buah-buahan segar, gula dan air tanpa sebarang perisa.

Gelato di sini masih mengekalkan tradisi lama untuk menghasilkan gelato yang enak. Apa yang paling penting dalam pembikinan gelato ialah bahan-bahan, pemprosesan dan mesin yang digunakan.

Selain itu G. Fassi menggunakan buah-buahan segar, diproses secara asli menggunakan mesin gelato yang dibuat orang Itali sendiri.

Gelato jugai diproses dan langsung dijual segar, kerana jika dibekukan rasanya pasti berbeza. Justeru mereka tidak banyak membuka cawangan kerana bimbang rasa gelato tidak sama dengan yang asal kerana proses pembekuan.

Selain Rome, G.Fassi mempunyai cawangan di Seoul, Korea dan Shanghai, China.

Produk yang ditawarkan di sini ialah ialah Sanpietrino, kek gelato daripada hazelnut, krim, coklat, cassate, tronchetti (gelatos kopi dan buah-buahan), pezzi duri (kek pencuci mulut), tartufo, tiramisu kopi, coklat, zabaglione dan coklat putih dan pencuci mulut istimewa seperti caterinetta, tramezzino, micione sandwich ais krim), rolle dan crushed ice drinks.

Terdapat empat perbendaharaan kata penting untuk gelato iaitu cono (kon) coppa (cawan kertas), gusto (satu skup/perisa) manakala gusti (lebih satu skup/perisa) dan panna (krim putar). Satu cawan kertas dengan tiga skup perisa gelatos boleh dinikmati dengan harga serengah €2.20 atau RM8. Pada musim panas, eloklah menikmati sekadar dua skup gelato, kerana ia cepat cair dan boleh membuat mulut anda kelihatan comot.

Di G.Fassi, pelanggan perlu memberitahu membayar terlebih dahulu di kaunter sebelum mengambil gelatos. Untuk keselesaan pengunjung, banyak tempat duduk disediakan, dan air sejuk disediakan secara percuma untuk diminum selepas menikmati gelato.

Apakah kebaikan gelato ini berbanding ais krim biasa? Orang Itali berpendapat gelato adalah makanan lengkap, real food, mempunyai pelbagai rasa dan warna, menjadikan sesiapa yang menikmatinya berasa senang. Dengan kadar kalori yang tinggi iaitu 200 – 250 kalori per hektogram, gelato boleh menggantikan hidangan makan tengah hari atau malam anda.

Bagi memastikan kualiti dan tahap kebersihan yang tinggi, hanya telur yang dipasteur digunakan, selain produk segar dan organik.

Jadi apakah rahsia sebenar resepi gelato, sehingga pelancong seluruh dunia termasuk orang Itali menggilainya? Tiada. Selepas menikmati gelato pistachio, tiramisu, strawberry, cocco (kelapa) dan coklat, penulis mengakui rahsianya sama seperti penyediaan sajian Itali yang lain- kesegaran bahan-bahan yang digunakan selain kecintaan mereka dalam bidang masakan. Jadi apakah perisa paling saya gemari? Sudah tentu Pistachio!

 

 

 

 

 

 

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *