Taman Nasional Kayan Mentarang

Giram

 

saya dan Par Marli di Giram

 

Gat Khaleb menunjukkan kubur lama di Pa Upan

 

Bersama wanita Saban/Lun Dayeh di Long Layu

 

 

cara-cara membuat sago oleh wanita Punan.

 

belajar mengeluarkan isi kayu mulong sebelum ditapis dan diproses menjadi linut.

 

Menariknya, Giram ini terletak di dalam kawasan Taman Nasional Kayan Mentarang (TNKM).

Bahagian legeh atau tanah tinggi yang memisahkan aliran Sungai Krayan dan Bahau yang merupakan sebahagian daripada TNKM, iaitu kawasan pemuliharaan hutan yang terbesar di Asia Tenggara diuruskan bersama oleh komuniti tempatan. Krayan Hulu terletak di ‘Jantung Borneo’ iaitu dataran tanah tinggi antara 900 dan 1,000 meter dari aras laut

Perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira satu setengah jam. Perahu tidak dapat melalui jeram ini kerana arus yang kuat dan berbahaya. Batu besar di kiri kanan menyebabkan air yang melaluinya berpusar kuat dan mampu membuat perahu karam. Malam itu kami tidur di sebuah kem yang dibina berhampiran Giram.

Pemandangannya sungguh indah, sunyi sepi hanya kedengaran unggas dan bunyi air mengalir di celah-celah batu. Tempat ini amat sesuai untuk mereka yang ingin mengabadikan diri dengan alam semula jadi. Saya sempat merakamkan pelbagai spesies orkid Borneo yang begitu banyak tumbuh di pokok kayu dan tanah. Malam itu kami menikmati ikan segar yang dipancing dari dalam sungai Krayan.

Begitu berselera menikmati ikan jelawat dan ikan haruan yang dibakar dan dicecah menggunakan cili api. Selain itu umbut yang dipansuh menggunakan buluh.

Giram juga menempatkan tapak warisan Paro’u Ateng berupa ukiran batu oleh manusia zaman pra sejarah yang mula-mula membuat penempatan di situ.

Kubur batu di Pa Upan

Keesokan hari kami meneruskan ekplorasi ke Pa Upan, kira-kira dua jam menggunakan bot dari Giram. Kali ini kami menyusuri Sungai Kuyur yang kaya dengan tapak warisan seperti batu-batu ukiran zaman batu di tebing Sungai Kuyur dan kubur yang berusia ratusan tahun di Long Kerunan dan Long Per. Kubur batu di Sungai Kuyur adalah batu pipih yang disusun menyerupai bangunan. Di dalam batu itu, dijumpai tempayan, pecahan tempayan dan seramik dan tulang manusia.

Andy yang juga mengemudikan perahu memasukkan tangan ke dalam tempayan dan mengambil tengkorak, tulang kaki dan lengan yang jauh lebih panjang membuktikan manusia lebih besar. Menurut warga Pa Upan, Gat Khaleb, dulu kaum Lun Dayeh dan Sa’ban tidak mengebumikan mayat didalam tanah. Sebaliknya mayat itu digantung di suatu tempat dan dibiarkan mereput.

Selepas beberapa minggu atau bulan, tulang-tulang si mati akan dikutip dan disimpan dalam sebuah tempayan. Semua tulang penduduk kampung yang mati akan disimpan dalam satu tempayan yang sama.

Batu-batu pipih diletakkan mengelilingi tempayan untuk menggelakkan gangguan binatang. Namun hari ini, amalan menggantung mayat tidak lagi diamalkan sebaliknya penduduk di situ mengguburkan mayat.

“Amalan ini sudah ditinggalkan selari dengan perubahan semasa. Kini mayat si mati dikuburkan seperti mana kaum dayak Iban di Sarawak,” katanya.

Kaedah pengebumian di sini sama seperti Batu Sicen dan apa yang membezakan, mereka di sana memanfaatkan celahan batu untuk menyimpan tulang. Semalam di Pa Upan, saya berpeluang mempelajari cara-cara membuat sago oleh masyarakat Punan. Riuh rendah jadinya apabila  diberi peluang mengeluarkan isi kayu mulong sebelum ditapis dan diproses menjadi linut.

Keesokkan harinya saya sempat singgah di kedai kraf tangan daripada etnik Sa’ban yang terletak di atas bukit Swiss. Ia dinamakan bukit Swiss bagi mengingati orang berbangsa Swiss yang pertama kali tinggal di situ. Banyak barang dijual termasuk bakul, sumpit, manik dan senduk yang mempunyai ukiran. Walaupun agak mahal, namun buatannya kemas dan cantik.

Kembara diteruskan dengan lawatan ke Long Layu iaitu destinasi terakhir yang mengambil masa dua jam menggunakan bot.

Hentian terakhir di Long Layu

Long Layu merupakan ibu kota Kecamatan atau daerah Krayan Selatan, Wilayah Nunukan. Di sana saya berkenalan dengan kepala adat, Lewi Gala, yang begitu peramah dan informatif memberikan maklumat.

Pada 1987, beliau mengumpulkan lapan desa di hilir Sungai Krayan untuk bersatu dan menetap di lokasi sekarang. Menurutnya, Long Layu mempunyai akses jalan ke Long Bawan namun hanya dapat menggunakan motosikal.

“Keadaan jalannya terlalu teruk sehingga kenderaan bisa rosak dalam seminggu. Hanya motosikal dapat digunakan, itupun mengambil masa tiga jam perjalanan dengan tambang RM120 untuk satu perjalanan,” katanya.

Lewi menambah, kehidupan di Long Layu tiada jauh beza di Long Rungan dan Pa Upan, penduduknya bercucuk tanam untuk keperluan sendiri.

Namun Long Layu yang menempatkan kira-kira 800 penduduk, lebih maju berbanding kedua-dua kampung itu. Mereka mempunyai kedai runcit, satelit dan rumah kayu yang tersergam indah. Selain itu landasan pesawat sepanjang 900 meter yang mampu didarati pesawat Casa, Cesna dan Airfan.

Petang itu saya dibawa mengelilingi perkampungan Long Layu dan landasan pesawat. Ngeri juga melihat dua buah pesawat Deraya Air Services (DAS) dan Kura-kura Aviation yang tersadai di hujung landasan dan tepi landasan dipercayai tergelincir semasa operasi.

Saya sempat singgah di salah sebuah rumah penduduk tempatan yang menjual gelang tangan diperbuat daripada rotan. Saya membeli kira-kira tujuh gelang rotan yang diukir dan baju T sebagai buah tangan rakan-rakan di Miri. Selesai menikmati makan malam di rumah Lewi, kami dihiburkan dengan tarian tradisional Lun Dayeh yang diiringi muzik Sape. Terpesona menyaksikan penari-penari yang begitu bersungguh-sungguh mempersembahkan tarian tradisional Lun Dayeh.

Malam itu saya diberikan penghormatan dengan nama panggilan baru iaitu Ruran Ulung yang maksudnya dalam masyarakat mereka perempuan tercantik di Kepulauan Borneo. Malam itu, kerana terlalu letih, saya tidur begitu nyenyak. Malam terakhir, saya sudah tidak sabar pulang ke rumah.

Pagi sebelum berpisah, saya menikmati sarapan dan makan pagi terakhir di Long Layu. Sesudah makan, Lewi dan Marli mengajak saya menikmati sejenis air rebusan sarang semut. Mujurlah saya pernah memakan semut merah yang digoreng, justeru saya tidak takut untuk mencuba.

Menurut Marli, ia bagus diamalkan oleh mereka yang baru menjalani pembedahan selain membuang angin di badan. Saya meneguk sedikit air rebusan tersebut yang mempunyai rasa seakan sabun Dettol.

Saya, Marli dan Lewi kemudian bertolak ke lapangan terbang yang kira-kira 15 minit berjalan kaki. Sedih juga bila meninggalkan mereka, namun saya sempat menjemput agar mereka datang ke Miri untuk bertemu saya pada bila-bila masa.

Meskipun selalu mengembara di merata tempat dan bertemu dengan pelbagai orang, kedua-duanya meninggalkan kesan dalam diri saya. Persahabatan.

Sepanjang lima hari berada di Krayan Hulu, penulis begitu terpaut dengan keindahan alam semula jadi, makanan eksotik, keunikan budaya serta masyarakatnya yang begitu peramah. Saya berazam untuk kembali ke sana suatu hari nanti!

 

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *