Legenda Sumpahan Dayang Pelawar

Batu Sicen

 

serpihan tulang

gigitan pacat

 

 

Legenda yang penuh tragis ini dikatakan berlaku beratus-ratus tahun dahulu ketika zaman batu.

Menurut penduduk kampung di Long Rungan, Dayang Pelawar mempunyai kulit putih mulus sehingga makanan yang dimakannya dapat dilihat dari luar.

Kelaput, merupakan ketua puak Lun Dayeh yang pertama kali membuat penempatan di Krayan Hulu. Dia mempunyai seorang anak gadis bernama Dayang Pelawar, yang  dikatakan memiliki kecantikan luar biasa.

Kecantikan Dayang Pelawar mencairkan semua hati jejaka di Krayan Hulu sehingga mereka berebut-rebut untuk berkahwin dengannya. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangi hari Dayang Pelawar untuk menjadi isteri.

Namun tiada satu pun daripada mereka berjaya memiliki Dayang Pelawar. Sehinggalah pada satu, semua lelaki yang patah hati tadi mencapai kata sepakat, bukankah lebih adil dengan membunuh Dayang Pelawar agar tidak ada sesiapa yang berkahwin dengannya.

Mereka lebih rela melihat Dayang Pelawar mati daripada berkahwin dengan lelaki lain. Plot pembunuhan ini diketuai Balang Adel diikuti beberapa lelaki yang pernah menaruh perasaan kepada Dayang Pelawar. Pada suatu hari mereka mengambil akar tuba di tepi Sungai Dok.

Selepas meracun sungai itu, nama Sungai Dok ditukar kepada Sungai Tuba yang bermaksud sungai beracun. Mereka kemudian mengajak Dayang Pelawar ke tepian sungai dan meminta gadis itu menghidangkan rokok kepada setiap pemuda yang ada di situ.

Pada masa itulah seorang daripada mereka mengambil pisau yang direndam dalam air tuba lalu menetak Dayang Pelawar dari arah belakang sehingga mati.

Kejadian itu pada mulanya dirahsiakan namun akhirnya sampai ke pengetahuan Kelaput. Sejak hari itu, Kelaput bernekad untuk membalas dendam di atas kematian anaknya.

Kelaput kemudian mengadakan pesta besar-besaran di rumah panjang dan menjemput semua anak buahnya termasuk pembunuh Dayang Pelawar. Kelaput yang memelihara seekor harimau, menyediakan 10 balang air tuak yang sudah disumpah.

Tiba pada harinya, semua jemputan datang termasuk pembunuh Dayang Pelawar dan meminum tuak yang dihidangkan. Selepas menyedari air tuak itu telah disumpah, mereka melarikan diri dari rumah panjang. Ketika itulah hujan lebat turun disertai dentuman guntur memecah langit.

Mereka termasuk Balang Adel bertukar menjadi batu. Rumah panjang tersebut runtuh ke dalam sungai dan bertukar menjadi batu. Bahkan harimau yang mengejar Baleng Adel turut bertukar menjadi batu. Semua kesan sumpahan ini dapat dilihat sehingga ke hari ini di sepanjang sungai Ulu Redan.

Berperang dengan pacat dan lintah

Pagi itu, selesai sarapan, saya bersiap sedia untuk masuk ke mendaki Bukit Batu Sicen. Saya hanya menggunakan kasut trekking biasa, stokin sekadar menutup buku lali dan menggunakan pakaian biasa, seperti pergi berjogging.

Saya juga diberitahu supaya tidak menggunakan sebarang minyak wangi, cukup sekadar krim penghalau serangga. Mungkin kerana masuk hutan adalah perkara biasa yang dilakukan sebelum ini, saya tidak risau memikirkan perkara lain.

Selagi tidak celupar (banyak mulut) dalam hutan, saya kira itu sudah memadai. Untuk sampai ke sana, kami menaiki bot selama 20 minit dari Long Rungan dan berhenti di tepi Sungai Tuba.

Sebelum turun, kami diingatkan sekali lagi agar tidak menggunakan minyak wangi atau bauan yang boleh menarik perhatian lebah. Baharu saya faham. Kami juga diingatkan agar tidak memukul atau menghembus serangga itu kerana dikhuatiri ia akan mengekori dan menyengat.

Saya melompat ke tebingan Sungai Tuba, lantas mengambil sedikit tanah lalu memalitkannya ke dahi sebagai tanda minta kebenaran dari penjaga hutan. Menurut kepercayaan nenek saya, tindakan itu akan mengelakkan saya daripada sakit kerana ditegur oleh orang halus yang menghuni hutan itu.

Biji mata saya hampir terkeluar, mulut saya melopong apabila terlihat pacat kecil merayap di atas daun kecil, menuju ke arah saya. Bukan seekor, saya lihat dua hingga tiga ekor lagi merayap di belakang, satu keluarga pacat.

Pacat dan sepupunya lintah merupakan perkara nombor dua paling saya takuti selepas ular. Ia bukan sahaja membuat saya geli kerana melekat di kulit dan menghisap darah, namun ia boleh masuk ke dalam kasut dan pakaian tanpa disedari. Ya, di mana-mana bahagian badan, walaupun di bahagian paling sulit.

Saya benci pacat, sambil menguis seekor pacat yang merayap-rayap di atas kasut. Seekor jatuh ke tanah. Saya lihat begitu banyak, dalam lapan ekor pacat merayap di atas kasut dan sebahagian daripadanya sudah melekat di betis. Saya diserang pacat.

Pacat mempunyai deria bau yang cukup kuat sehingga dapat mengesan bau darah manusia walaupun dari jarak jauh. Namun saya tidak menjangkakan serangan pacat itu begitu cepat. Untuk menggelakkan lebih banyak pacat menyerang, saya berjalan laju menuju ke pondok berhampiran, di mana teman yang lain menunggu.

Saya mengambil tembakau yang disediakan, antara petua yang dikatakan dapat menghalau pacat. Tembakau tersebut perlu disimpan didalam kasut dan bahagian badan yang lain. Dikatakan, pacat mabuk jika tercium bau tembakau.

Ia mungkin dapat mengurangkan pacat, namun bagi saya ia tidak berkesan. Tidak menggunakan pakaian yang betul. Saya menyesal kerana tidak menggunakan stokin nipis kerana ia dapat menghalang pacat melekat di bahagian kaki.

Perjalanan saya sedikit terjejas kerana terpaksa  ‘berperang’ dengan pacat dan lintah yang begitu banyak keluar terutama selepas hujan. Saya meraung ketakutan kerana terlalu banyak datang pada satu masa.

Selang beberapa minit, saya berhenti untuk membuang beberapa ekor pacat yang melekat di betis dan kaki, namun akhirnya saya terpaksa beralah dan membiarkan sahaja ia melekat menghisap darah. Harus diingat, apabila sudah melekat, sukar untuk menanggalkan pacat tersebut. Bawa handy plast untuk menutup kesan gigitan pacat yang berdarah.

Pengajaran ketiga: gunakan pakaian betul untuk menggelakkan pacat melekat di tubuh badan. Ingat, macam-macam hidupan di dalam hutan.

Cara untuk menanggalkan pacat yang melekat:

  • Cucuhkan pacat itu dengan api rokok jika merokok
  • Siram dengan air garam atau air tembakau

Kawan perempuan saya pernah terkena pacat di bahagian kemaluan, dia mencucuk dan menarik pacat yang melekat di bahagian tersebut menggunakan mata pancing.

Batu Sicen

Perjalanan kami diteruskan dengan pendakian bukit Batu Sicen sebuah tapak warisan yang terletak tidak jauh dari Long Rungan. Ia mendapat nama daripada lebah yang banyak membuat sarang di sekeliling batu tersebut.

Batu Sicen setinggi 40 meter ini dikatakan berasal dari rumah panjang yang terkena sumpahan semasa peristiwa pembalasan dendam oleh Kelaput terhadap Balang Adel.

Saya diberitahu, sepanjang Jun banyak lebah membuat sarang dan serangga itu amat peka dengan kehadiran bau manusia. Sepanjang pendakian Batu Sicen yang mengambil masa selama dua jam, pelbagai spesies tumbuhan dan bunga liar yang penulis lihat.

Antaranya tumbuhan terang bulan. Menurut Marli, jika diguna semasa mandi,  setiap kali bulan menggambang si gadis akan kelihatan lebih cantik bagai bidadari. Selain itu pelbagai spesies tumbuhan menjalar, kulat, cendawan dan orkid tumbuh subur di atas batu.

Akhirnya kami berjaya sampai ke puncak. Di puncak Batu Sicen jelas kelihatan pemandangan yang begitu indah. Hamparan flora dan fauna yang menghijau.

Kami sempat melihat lebah sedang membuat sarang yang menghasilkan madu. Kegiatan mengumpul madu merupakan salah satu aktiviti penduduk kampung di sini.

Batu Sicen juga dikatakan mempunyai satu misteri iaitu apa sahaja yang terjatuh dari puncaknya tidak akan pecah. Ini diakui oleh orang kampung dan pelancong yang pernah berkunjung ke situ.

Lampu suluh, termos air bahkan anjing yang jatuh dari puncak tersebut tidak pecah atau mengalami sebarang kecederaan.

Batu Penyimpanan Tulang

Dalam perjalanan turun dari Batu Sicen, kami melintasi Batu Pembusukan Mayat. Tempatnya berupa batu-batu yang disusun rapi bulat seperti meja dan ditengah-tengahnya berselerak pecahan-pecahan seramik, tulang, gigi, tengkorak manusia dan tempayan pelbagai motif.

Ada seramik bermotifkan lukisan naga dan tulisan berbahasa Arab. Berhampiran terdapat lubang batu tempat menggantung mayat. Menurut Marli, setelah mayat tinggal tulang, ia dibersihkan dan disimpan di celah-celah rekahan Batu Sicen yang dinamakan Batu Penyimpanan Tulang.

Artifak sejarah termasuk perhiasan, tembikar, tulang dan gigi si mati masih boleh ditemui sehingga ke hari ini. Tidak jauh dari Batu Penyimpanan Tulang, terdapat sebuah gua yang dipanggil Gua Kelelawar, gua terbesar di Krayan Hulu.

Sekali masuk, anda seperti melihat siri National Geografi. Jika bernasib baik, anda akan melihat ular melingkar di celah-celah gua menunggu kelawar untuk dijadikan hidangan.

Jam sudah menunjukkan 2 petang. Kami meninggalkan legenda Dayang Pelawar bersama Batu Sicen, tempat Pembusukan Mayat dan Gua Kelelawar. Kami kemudian menaiki bot untuk meneruskan ekplorasi ke Giram!

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *