Krayan Hulu – Long Rungan

makan tangayen
Pemandangan Long Rungan dari udara

 

 

 

bersama kanak-kanak di Long Rungan
menumbuk padi

Esok pagi, selesai sarapan saya meneruskan perjalanan ke Kampung Tanjung Pasir atau Long Rungan.

Untuk ke sana, saya menggunakan pesawat jenis Chesna lima tempat duduk yang disediakan oleh Missionary Aviation Fellowship (MAF).

MAF mengadakan penerbangan dari Long Bawan ke Long Rungan, Long Layu dan Pa Upan satu hingga dua kali seminggu. Semasa di gudang (nama tempatan untuk landasan terbang), saya perlu menimbang berat badan serta barangan yang dibawa. Saya turut berkenalan dengan juruterbang warga Amerika Syarikat, Paul, yang begitu fasih berbahasa Indonesia.

Saya difahamkan oleh seorang penduduk dari Long Rungan iaitu Pak Marli, membawa rokok adalah dalam jumlah yang banyak adalah satu kesalahan besar sehingga dilarang dalam tempoh beberapa bulan menggunakan pesawat Chesna yang diterbangkan oleh Paul.

Tempahan perlu dibuat lebih awal kerana jadual penerbangan yang tidak pasti. Penumpang dinasihatkan agar membawa muatan kurang daripada 10 kilogram. Pengajaran kedua: Jangan membawa barangan terlalu banyak jika tidak mahu ia ditinggalkan.

Penerbangan yang mengambil masa kira-kira 15 minit ternyata cukup menarik walaupun jantung saya hampir terkeluar apabila Paul dengan nada berseloroh memberitahu membuat ‘show time’ dengan membuat beberapa pusingan tatkala berada di atas awan biru.

Pesawat kecil itu mendarat dengan selamat di atas padang. Di hadapan mata, terdampar selautan hutan hijau dan gunung-ganang yang berdiri megah.

Ketibaan kami di Long Rungan disambut oleh kanak-kanak comel. Berebut-rebut mereka berjabat tangan sehingga saya ketawa dengan keletah mereka. Di sini cuacanya sejuk, sehingga mencecah 22’C. Nyaman rasanya menghirup udara pergunungan.

Bumi hijau penuh misteri. Itu anggapan saya apabila menjejak kaki di Krayan Hulu, Kalimantan Timur, Indonesia. Krayan Hulu adalah satu daripada dua tanah adat dalam wilayah kecil Krayan Selatan, daerah Nunukan, Kalimantan Timur Indonesia.

Ia meliputi kawasan hulu Sungai Krayan dan bersempadan dengan wilayah kecil Krayan di bahagian utara, Hulu Bahau di selatan, Sungai Tubu di timur dan Bario, Sarawak di barat. Penduduk peribumi di sini terdiri daripada etnik Dayak iaitu Sa’ban, Lengilu, Lun Dayeh dan kumpulan kecil Punan dari kawasan Tubu.

Sebahagian daripada mereka tinggal di penempatan Tanjung Pasir (Long Rungan), Tang Laan (Pa Upan) dan Long Layu. Long Rungan adalah kampung paling kecil dan terletak di hilir Sungai Krayan, mempunyai kira-kira 300 populasi majoritinya adalah Lun Dayeh.

Pa Upan terletak di pertengahan sungai dengan populasi kira-kira 700 kebanyakkan kaum Sa’ban dan sebilangan kecil kaum Punan. Seterusnya Long Layu yang mempunyai penempatan lebih besar dan maju berbanding Long Rungan dan Pa Upan. Setiap penempatan ini terdiri daripada beberapa kampung kecil yang digabungkan melalui program penempatan semula oleh kerajaan Indonesia sekitar 1970-an.

Menurut Marli Kamis, anak tempatan Long Rungan selaku pengiring sepanjang ekplorasi, majoriti daripada penduduknya adalah kaum Lun Dayeh yang mengamalkan kegiatan menanam padi, mengutip madu lebah, menternak kerbau di samping mengutip hasil hutan untuk kegunaan harian.

Penduduk di sini jarang ke pekan atau bandar kerana tambang terlalu mahal.

“Semua makanan di sini organik, tiada racun dan semuanya alamiah, dipungut dari hutan,” katanya ketika saya menikmati hidangan makan tengah hari.

Walaupun hanya berlauk petai, ikan empurau, ikan baong goreng, sayur Dayang Pelewar, umbut dan sambal cili, penulis begitu berselera menikmati makanan. Tanpa malu-malu saya terus menambah nasi beras adan yang begitu lembut dan enak.

Khabarnya, beras adan merupakan kegemaran Sultan Brunei, Sultan Hasanal Bolkiah.

Petang itu, saya berpeluang melalui pengalaman menumbuk padi menggunakan alu dan lesung. Di sini tiada mesin, segalanya dilakukan secara manual.

Lelah menumbuk padi, saya kemudian bersiar-siar di sekitar kampung, kesempatan untuk melihat kehidupan masyarakat di situ. Saya bertemu dengan beberapa budak yang kelihatan gembira apabila diambil gambar.

Kegembiraan mereka bertambah apabila saya tunjukkan skrin kamera kepada mereka.

Malam itu kami makan menggunakan daun pisang yang disusun memanjang dalam bentuk L atau ‘tengayen’.  Nasi dan lauk diletakkan di sepanjang daun pisang dan kami makan seolah-olah berkongsi nasi dengan yang duduk dihadapan dan disebelah.

Menurut Marli, tengayen merupakan salah satu adat tradisi mereka menyambut tetamu yang berkunjung ke situ.

 

*Artikel 2009

 

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *