Heidelberg

 

salah satu lorong dalam istana lama
salah satu bahagian istana untuk melihat kota Hiedelberg dari atas
peninggalan istana lama

Runtuhan istana lama di Heidelberg

di Heidelberg Bridge Monkey, salah satu tarikan di sana
doll shop

Menjejakkan kaki di istana lama yang terletak di atas bukit Schloss Heidelberg, menyebabkan saya bagaikan berada di alam mimpi. Teringat masa zaman kanak-kanak, saya begitu teringin untuk melihat istana seperti yang diceritakan dalam kisah Snow White dan Cinderella.

Dibina oleh Putera Elector Ruprecht III antara tahun 1398 hingga 1410, bangunan itu pada asalnya bertujuan sebagai benteng namun pada abad ke-16 dan ke-17, Elektor telah mengubahnya menjadi istana.

Sehingga ke hari ini, istana berkenaan masih digunakan untuk majlis perkahwinan, makan malam, opera dan teater. Saya menghabiskan kira-kira lima jam untuk menyusuri istana tersebut, mendaki tangga yang dibuat daripada bongkah batu serta laluan yang disediakan khas untuk memudahkan pengunjung. Walaupun letih kerana perlu berjalan jauh, namun lawatan ke sini amat berbaloi.

Perasaan puas hati terpancar pada setiap pengunjung yang sampai di anjung tinjau istana di bahagian atas. Hati pasti terkait dengan pemandangan indah dan romantik di tepi Sungai Neckar tambahan pula angin sejuk yang berhembus begitu menyegarkan.

Saya juga berpeluang menyaksikan pemandangan kota lama Heidelberg yang tersohor dengan nilai sejarah.

Selain bangunan istana yang tersergam dan unik itu, saya begitu kagum melihat sebuah jambatan yang merentasi Sungai Neckar iaitu Alter Bruke atau Jambatan Tua. Di sini terdapat seniman jalanan yang bermain muzik. Namun jangan sesekali mengambil gambar mereka jika anda kedekut memberi sedekah (seperti saya) atau anda akan disumpah seranah.

Saya perhatikan, ramai penduduk tempatan di Heidelberg gemar membawa binatang peliharaan iaitu anjing bersiar-siar di sini. Hampir di setiap sudut saya melihat anjing comel berjalan-jalan dibawa oleh tuannya.

Jambatan diperbuat daripada batu dilengkapi dengan menara dan patung-patung itu dibina semasa zaman pemerintahan Putera Elector Karl Theodor setelah empat jambatan kayu yang didirikan sebelum itu mengalami kerosakan akibat banjir, kebakaran dan hentakan salji pada 1786.

Heidelberg juga terkenal sebagai pusat penyelidikan yang menempatkan Institut Planck Max dan Universiti Heidelberg yang dibina pada 1386 iaitu salah sebuah universiti tertua di Eropah.

Turun dari istana, saya berjalan melalui Alter Bruke untuk ke seberang. Kali ini saya melalui ’denai ular’ diberi nama demikian kerana laluan yang bengkang bengkok seperti ular kena pukul. Di sana saya menaiki bukit lagi, semata-mata untuk menyaksikan istana lama dan Hiedelberg dari pandangan seberang Sungai Neckar.

Selepas seketika di sana, saya kembali menyelusuri Heidelberg. Kota lama ini kaya dengan bangunan dan gereja, bahkan dikatakan disinilah pengaruh Protestan oleh Martin Luther King dikatakan bermula.

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *