Krayan Hulu – Long Bawan

 

Perjalanan dari Ba kelalan ke Long Midang menggunakan motosikal kapcai

 

Perjalanan ke Lembudud

 

Tarian pinggan

 

Wanita Lun Dayeh di Lembudud bermain gitar keroncong menyambut ketibaan rombongan

 

Penginapan di Long Bawan
Buah-buahan eksotik

 

Untuk sampai ke Long Bawan, saya perlu terbang dari Miri ke Ba Kelalan, dan dari sana berjalan kaki atau menggunakan kapcai melalui bukit bukau untuk sampai ke Long Midang.

Lawatan pertama ke Long Midang, saya berjalan kaki kemudian pulang semula ke Ba Kelalan, juga berjalan kaki. Harus diingat, enam jam adalah standard untuk orang yang berjalan berlenggang seperti berjalan di kompleks beli-belah.

Kali kedua, saya menunggang motosikal kapcai, jadi perjalanan ke Long Midang lebih singkat. Cuma saya tidak begitu selesa, mungkin kerana bentuk motosikal yang tinggi di bahagian belakang menyebabkan saya seolah-olah memeluk penunggang dihadapan.

Di sini motosikal kapcai diubahsuai untuk memastikan ia sesuai dengan bentuk muka bumi yang berbukit bukau.

Sebelum membuat keputusan menggunakan  motosikal, berfikirlah masak-masak kerana tambang untuk satu perjalanan ialah kira-kira RM150 atau RM300 pergi dan balik. ini kadar bayaran untuk tahun 2009.

Selepas membuat pemeriksaan dokumen termasuk passport di Long Midang, saya meneruskan perjalanan ke Long Bawan menggunakan kenderaan empat roda. Perjalanan yang seperti menunggang unta, tidak dihiraukan kerana saya leka melihat sawah padi yang terbentang luas.

Dusun buah, perdu buluh dan kanak-kanak ceria menarik kerbau di tepian mewujudkan satu lanskap yang indah dan damai. Gunung ganang di kiri kanan jalan ditambah dengan udara dingin, menyebabkan saya terlupa keadaan jalan yang tidak begitu elok.

Menurut Pak Alex, pemandu kenderaan, cuaca di dataran ini lebih sejuk semasa musim kemarau berbanding musim hujan yang panas.

Hampir tiga jam, saya tiba di Long Bawan. Selesai menyimpan barangan di Penginapan Agung Raya Pak Alex cepat-cepat membawa saya meneruskan perjalanan ke Lembudud, sebuah perkampungan Lun Dayeh yang terletak di pinggir pekan Long Bawan.

Keletihan lenyap melihat seluruh penduduk kampung yang lengkap dalam pakaian tradisi sudah menunggu.

Kami diberi penghormatan, dikalung dengan rantai dan mahkota yang diperbuat daripada kayu. Terasa seperti menteri pula.

Golongan lelaki kelihatan segak menggunakan pakaian tradisi, sementara kaum wanita menggunakan pakaian yang diperbuat daripada sejenis daun dan kulit kayu.

Alergi makan serangga

Perkampungan Lembudud ini mempunyai kira-kira 700 populasi terdiri daripada suku kaum Lun Dayeh.

Saya begitu tertarik dengan kehebatan wanita-wanita Lun Dayeh bermain alat muzik yang jika di sini dikenali ‘gitar keroncong’.

Petang itu kami dihiburkan dengan dengan persembahan ‘tarian monyet’ dan aksi tenggiling yang membuat semua penonton ketawa.

Seperti kaum Lun Bawang di Sarawak, kaum Lun Dayeh di sini tiada jauh bezanya. Malah mereka berkongsi budaya dan bahasa pertuturan yang serupa. Mereka hanya dipisahkan oleh sempadan.

Selesai menyaksikan persembahan, kami dihidangkan dengan pelbagai makanan organik (semuanya hasil hutan). Namakan sahaja, semuanya ada.

Ikan sungai, salai daging rusa, salai ulat mulong, ulat kelatang (rasanya seperti kayu), sup lebah, siput, petai, umbut dan pelbagai jenis makanan yang begitu unik. Namun selepas memakan beberapa ekor ulat mulong yang disalai, saya mengalami alahan. Pengajaran pertama: Jangan makan sembarangan terutama apabila tidak membawa ubat.

*Artikel ditulis 2009

 

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *