Menelusuri kehebatan Stuttgart

Old Castle
Koenigstrasse
Stiftskirche Church, Stuttgart
Schlossplatz Stuutgart, Palace Square

Markplatz, Ludwigsburg

 

kemudahan pengangkutan utama

BERBANDING negeri lain seperti Frankfurt, Stuttgart merupakan suatu nama yang begitu asing bagi saya. Peluang menjejak kaki ke Stuttgart telah menambah pengetahuan saya mengenai ibu negeri Baden-Württember itu. Pada mulanya, saya sedikit ragu-ragu memilih Stuttgart sebagai destinasi pelancongan, mungkin kerana namanya tidak sehebat kota metropolitan yang lain seperti Berlin yang merupakan ibu negeri Jerman.

Ada apa pada Stuttgart? Itu antara persoalan yang terlintas di fikiran saya beberapa hari sebelum menempah tiket penerbangan ke sana. Namun apabila sampai di sana selepas melalui kira-kira 13 jam penerbangan, saya begitu teruja dengan maklumat mengenai Stuttgart yang merupakan antara 16 negeri di Jerman.

Menurut Martha, iaitu kenalan baik saya yang merupakan orang Jerman, Stuttgart bukan destinasi pelancongan yang utama, sebaliknya menumpu kepada industri teknologi tinggi dan perniagaan. Stuttgart bukan calang-calang kerana negeri itu merupakan kampung halaman kepada kereta mewah seperti Mercedes dan Porsche. Malah Volkswagen Beetle yang pertama dikeluarkan di sini juga.

Selain itu, Stuttgart juga mempelopori kehebatan dunia teknologi tinggi dengan penghasilan alat gantian automotif melalui syarikat gergasi seperti Bosch dan Mahle yang berpangkalan di situ. Selain itu, syarikat ulung Jerman seperti Celesio, Neoplan, Hewlett-Packard , IBM, Carl Zeiss dan Hugo Boss turut berpangkalan di Stuttgart.

Maka tidak hairanlah, dikalangan rakyat tempatan dan golongan peniaga dan industri, Stuttgart digelar dengan nama “Where business meets the future”.

Untuk pengetahuan, Stuttgart pernah disenaraikan ditangga ke 30 di peringkat global oleh Mercer 2010 sebagai kawasan yang paling sesuai didiami selain tangga ketujuh di Jerman selepas Frankfurt, Düsseldorf dan Munich.

Dalam bidang ekonomi dan inovasi sosial pula, Stuttgart menduduki tangga ke-11 di peringkat global manakala kedua di Jerman selepas Hamburg dan ketujuh daripada 256 bandar raya di seluruh Eropah. Dengan rekod cemerlang ini, tidak hairanlah negeri yang mempunyai kepadatan penduduk kira-kira 5 juta ini dikatakan antara negeri terkaya di Jerman. Apa tidaknya, kerana pemilik syarikat terbesar dan berkepentingan di Jerman lebih gemar memilih Stuttgart sebagai pangkalan operasi mereka. Ringkasnya, Stuttgart dapat disifatkan sebagai tulang belakang ekonomi kepada Jerman.

Stuttgart terbahagi kepada 23 bandar raya dan antara yang terkenal ialah Bad Cannstatt (spa mineral terbesar di Eropah Barat, Zoo Wilhelma dan Festival Cannstatter Wasen), Moehringen (teater musikal), Stammheim (Mahkamah Tinggi dan penjara), Untertiükheim (ibu pejabat DaimlerChrysler dan loji asal Mercedes-Benz), Vaihingen (Universiti Stuttgart), Zuffenhausen (pangkalan syarikat kereta Porsche) dan Feuerbach (pangkalan loji Bosch).

Terletak di tebing Sungai Neckar, Stuttgart bukan sahaja merupakan kota impian bagi pemilik industri dan perniagaan, namun ia kaya dengan hutan menghijau dan ladang anggur yang terbentang luas. Malah, di sinilah satu-satunya tempat yang mana anggur ditanam-tanam di tengah kawasan kota metropolitan, dikelilingi bangunan gah automobil.

Berdasarkan fakta sejarah, Stuttgart yang diadakan pada abad ke-10 dulunya dikenali sebagai Stuttengarten dan pernah menjadi pusat penternakan kuda untuk kegunaan pasukan berkuda di raja Württemberg. Semasa Perang Dunia Kedua, pusat bandar itu hampir musnah oleh serangan udara. Selepas perang berakhir, Marshall Plan kemudian menggabungkan dua negeri iaitu Baden dan Württemberg dan mengumumkan Stuttgart sebagai ibu negeri.

Disebabkan peperangan itu, tidak banyak bangunan bersejarah yang asal masih wujud. Namun saya melihat, banyak usaha dilaksanakan untuk membangunkan semula kebanyakkan bangunan yang telah musnah bagi memastikan sejarah dan tinggalan lalu tidak hilang ditelan masa.

Salah satu daripadanya ialah Muzium Württemberg yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Stuttgart. Selain itu, Dataran Schlossplatz, dataran terbesar di Stuttgart yang menempatkan Neues Schloss atau istana baharu yang kini menempatkan pejabat rasmi kerajaan. Saya begitu kagum dengan binaan yang menggabungkan stail Baroque sehingga zaman pemerintahan Imperial.

Setiap tahun, Dataran Schlossplatz ini menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong untuk menyaksikan pelbagai aktiviti seperti konsert terbuka, pameran kanak-kanak dan aktiviti santai. Bersebelahannya ialah Schillerplatz yang diabadikan untuk memperingati penyair, ahli falsafah, sejarawan dan dramatis kelahiran Stuttgart, Friedrich Schille

Stuttgart juga terkenal dengan nilai kebudayaan dan pembuatan minuman wain yang dihasilkan secara tradisi. Setiap kali musim panas, Stuttgart akan menjadi tumpuan setengah juta pelancong untuk menghadiri festival wain. Malah kota metropolitan ini juga begitu tersohor dengan Staatsgalerie (muzium bertaraf dunia) dan Staatstheater yang menempatkan rumah opera dan tiga teater. Jika ke sana, pengunjung berpeluang melihat balet, opera, konsert dan produksi teater. Untuk rekod, Stuttgart Opera pernah merangkul Opera of the Year selama lima tahun berturut-turut.

Selama sembilan hari di sana, saya menggunakan peluang sepenuhnya untuk melawat beberapa destinasi pelancongan yang terkenal antaranya Muzium Porsche, Muzium Mercedes Bens, Taman Botanikal Wilhelma, Taman Neckar, Heidelberg, Black Forest, Mark Platz, Ludwisburg dan Bad Cannstatt.

Semasa di Stuttgart, tidak susah mencari hotel penginapan dari yang mahal hingga ke harga yang berpatutan dan mampu dibayar oleh pengembara berbajet rendah. Saya tinggal di Adler Hotel, bangunan lama yang berusia lebih 110 tahun. Hotel yang terletak di Asperg ini, kira-kira 15 km dari Stuttgart ini merupakan salah sebuah hotel dan restauran bertaraf bintang Michelin yang terkemuka di Jerman. Pengunjung juga boleh memilih konsep atau tema bilik berdasarkan pereka inovasi terkemuka seperti Robert Bosch, Gottlieb Daimler dan Ferdinand Porsche.

Saya begitu tertarik dengan cerita pemilik hotel itu, Christian Ottenbacher, mengenai kegigihan datuknya untuk membangunkan kedai menjual daging itu kepada hotel yang menyediakan servis kelas pertama. Kini hotel tersebut terus dikendalikan oleh ahli keluarga Ottenbacher sejak lebih sedekad yang lalu.

Saya berasa bertuah kerana semasa di sana, Stuttgart sedang mengalami musim luruh (mulai September hingga November), dengan suhu antara 23’C hingga 3’C pada waktu siang dan 1’C pada waktu malam. Namun keadaan suhu di sana tidak menentu dan bergantung kepada bahagian. Saya cuba membuat perbandingan suhu di kota lama Heidelberg dan Black Forest, ternyata Heidelberg lebih panas berbanding Black Forest.

Tidak sukar mengembara di Stuttgart kerana sistem pengangkutan yang begitu teratur dan sistematik. Pengangkutan di sini dikendalikan oleh Stuttgart S-Bahn (anak syarikat Deutsche Bahn) yang merupakan sistem kereta api sub urban (S-Bahn). Pengangkutan S-Bahn ini menghubungkan semua daerah sehingga ke pinggir bandar. Pada mulanya, agak janggal menggunakan pengangkutan ini kerana saya tidak pandai membeli tiket menggunakan mesin elektronik.

Tambahan pula, ia beroperasi menggunakan bahasa Jerman, namun mesin itu juga boleh ditukar ke bahasa Inggeris untuk memudahkan anda. Selepas hari kedua berada di sana, saya mahir menggunakan mesin dan membaca peta untuk menggelakkan sesat. Saya juga banyak bertanya dengan penduduk di Stuttgart yang bagi saya begitu peramah sanggup meluangkan masa untuk menunjukkan arah jalan yang betul.

Satu perkara yang perhatikan, orang Jerman terutama golongan warga emas amat menghormati waktu makan bersama keluarga atau rakan terdekat, justeru adalah lebih baik anda tidak membuat sistem pesanan ringkas (SMS), bertelefon atau memeriksa laman sosial Facebook semasa duduk bersama-sama di meja makan. Menurut kawan baik saya, tindakan itu dianggap tidak sopan. Selain itu, orang Jerman juga gemar melakukan pertolongan atau menawarkan bantuan tanpa mengharapkan balasan, memadailah dengan mengucapkan terima kasih atau danke dalam bahasa Jerman. Bagi mereka, perbuatan baik tidak semestinya dibalas, namun cukuplah jika perbuatan mereka dihargai.

*Catatan kembara 2011

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *