Cannstatter Volksfest

Kedatangan saya di Cannstatter Volksfest atau Oktoberfest di Wasen menggunakan kereta api U-Bahn  disambut oleh rollercoasters yang tinggi menjulang, sekali pandang tidak ubah seperti berada di taman tema. Teruja dan ’lupa diri seketika’ melihat lautan manusia dalam pelbagai ragam dan pakaian.

Difahamkan, pihak penganjur mengambil beberapa minggu untuk menyiapkan ’taman tema beer’ ini. Saya melalui ratusan gerai makan yang menjual pelbagai makanan tipikal orang Jerman,

Bratwurst, ayam, pasta, pizza, minuman, gingerbread hearts, manisan dan banyak lagi. Saya menikmati aiskrim strawberi dan roasted pork leg.

Bukan Oktoberfest jika tiada khemah beer (beer tents). Tahukah anda bahawa khemah besar ini mengambil masa 6 hingga 8 minggu untuk didirikan? Setiap khemah ini mampu menampung sehingga 5,000 orang. Untuk memasuki khemah tersebut melalui proses pemeriksaan yang ketat.

Pakaian yang digunakan mereka juga hebat. Pengunjung lelaki menggunakan seluar panjang kulit, manakala di wanita cantik menggunakaan gaun paras lutut.

Kami tiba di Cannstatter kira-kira jam 1.30 petang Sabtu dan berjalan mengelilingi seluruh tapak. Dengan ribuan manusia (dianggarkan 6 juta) orang mengunjungi Oktoberfest, terlalu sukar untuk mencari tempat duduk di dalam khemah. Saya diberitahu, tempahan melalui internet perlu dilakukan lebih awal.

Namun semalam saya bertuah kerana dibenarkan masuk untuk mengambil gambar. Sekurang-kurangnya saya tahu apa yang berlaku di dalam sana. Sebenarnya anda boleh menempah meja untuk 10 hingga 12 orang. Dan anda perlu datang dalam kumpulan sekurang-kurangnya 8 orang.

Di sini, acara meminum beer bermula seawal jam 12 tengah hari. Di pentas, lagu “So a Schoneer tag” atau “Cowboy und Indianer” dinyanyikan menyebabkan saya pun seperti mahu menari. Saya lihat pengunjung dalam khemah naik atas bangku menari sambil mengangkat mug beer  satu liter.

Di sini, beer 1 liter dijual dengan harga €7 – €8 dan makanan pula dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding di luar khemah.

Peraturan di sini, sesiapa yang mabuk akan ditarik keluar dari khemah. Ambulans turut disediakan di luar khemah untuk kecemasan.

Menariknya, walaupun mereka minum begitu ekstrem, dan ada sebahagian yang mabuk, mereka tidak menggangu. Sebaliknya, mereka begitu teruja minta diambil gambar dan video.

Walaupun tempoh penganjuran hanya 17 hari (23 September – 9  Okt) berbanding tiga minggu di Munich, namun bagi anda yang tidak mahu terlalu sesak, Cannstatter Volksfest di Wasen, Stuttgart adalah pilihan terbaik.

You may also like

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *